top of page

Pastikan tiada negeri tertinggal capai keterangkuman wilayah


Bagi mendorong pertumbuhan seimbang antara bandar dengan luar bandar, agensi kerajaan negeri perlu menjadi pemacu dan pemangkin supaya kemajuan pembangunan ekonomi di negeri tercapai. - foto hiasan

JURANG sosioekonomi berterusan antara negeri di Malaysia menyebabkan penubuhan Majlis Tindakan Kemakmuran Bersama (MTKB) menjadi peluang terbaik mencapai matlamat keterangkuman wilayah.


Keterangkuman wilayah ialah Teras Strategik Keenam di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030 dan bertujuan menaik taraf infrastruktur sedia ada bagi mempercepatkan pertumbuhan ekonomi negara.


WKB2030 ialah komitmen menjadikan Malaysia mampu mencapai pembangunan mampan seiring pengagihan ekonomi adil, saksama dan inklusif untuk semua lapisan pendapatan, etnik, wilayah serta rantaian bekalan bertujuan menyediakan taraf hidup sewajarnya bagi semua warganegara pada 2030.


Walaupun banyak usaha dilakukan untuk mengurangkan ketidakseimbangan wilayah, jurang antara bandar dengan luar bandar masih kekal, terutama di Sabah, Sarawak, Timur dan Utara.


Menurut Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11), Sabah merekodkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita terendah, iaitu RM22,098; diikuti Timur merangkumi Kelantan, Terengganu dan Pahang (RM23,392) dan Utara membabitkan Perlis, Kedah, Perak dan Pulau Pinang (RM29,725) pada 2016.


Akses bekalan air bersih dan terawat di luar bandar masih menjadi masalah. Berbanding negeri lain memperoleh akses bekalan air bersih dan terawat lebih 90 peratus pada 2016, Kelantan mencatat peratusan terendah, iaitu 67.7 peratus diikuti Sabah (79 peratus) dan Sarawak (80.4 peratus).


Malah, akses bekalan elektrik luar bandar di Sarawak adalah yang terendah, iaitu 85.4 peratus, manakala di Sabah pula sebanyak 92.4 peratus untuk 2017.


Disebabkan pelaburan swasta terhad dan prosedur pihak berkuasa tempatan (PBT) rumit, Sabah serta Sarawak mencatat kadar penembusan jalur lebar lebih rendah berbanding purata nasional, iaitu sebanyak 117.3 per 100 penduduk pada 2017, berbanding Sabah (64.5) dan Sarawak (106.5).


Pandemik COVID-19 menonjolkan betapa rawan rakyat yang tinggal di luar bandar dalam mengakses rangkaian jalan raya, bekalan air dan elektrik serta infrastruktur kesihatan, pendidikan, pengangkutan dan digital.


Pada masa sama, disebabkan kemiskinan dan ketiadaan kesedaran, sekurang-kurangnya 35 peratus pelajar Malaysia tidak mendapat kemudahan alat digital setimpal bagi meningkatkan ilmu pengetahuan digital. Ramai pelajar tidak mempunyai internet mencukupi untuk pembelajaran jarak jauh di rumah.


Justeru, bagi mendorong pertumbuhan seimbang antara bandar dengan luar bandar, agensi kerajaan negeri perlu menjadi pemacu dan pemangkin supaya kemajuan pembangunan ekonomi di negeri tercapai.


Mereka perlu bekerjasama dengan kerajaan persekutuan dalam mengendalikan projek antara negeri seperti jalan raya, utiliti dan infrastruktur tebatan banjir.


Dengan perbelanjaan pembangunan disalurkan kerajaan persekutuan, enam negeri kurang maju seperti Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis dapat menikmati infrastruktur berkualiti tinggi serta menjana lebih banyak aktiviti ekonomi.


Agensi kerajaan negeri perlu memperluas aktiviti hiliran bagi merangsang pertumbuhan ekonomi. Sebagai contoh, pembangunan Bandaraya Getah Kedah (KRC) di utara tertumpu pada industri getah, seperti produk lateks dan produk getah kejuruteraan tepat, akan membolehkan pengeluaran produk nilai tambah tinggi.


Sementara itu, Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) di Sandakan dan Lahad Datu di Sabah berpotensi melonjakkan pelaburan dalam aktiviti pemprosesan hiliran yang mempunyai nilai tambah lebih tinggi.


Dengan meningkatkan akses dan kesalinghubungan melalui penggunaan sumber lebih baik, usaha ini dapat merangsang aktiviti sosioekonomi, termasuk pewujudan pekerjaan baharu untuk penduduk tempatan, sekali gus mengurangkan ketidakseimbangan antara wilayah.


Bagi mempercepatkan pembangunan luar bandar, Sarawak perlu mengemblengkan usaha tenaga tiga agensi pembangunan yang baru ditubuhkan, iaitu Highland Development Agency, Upper Rajang Development Agency dan Northern Region Development Agency.


Ini dapat memanfaatkan potensi pertumbuhan dan melonjakkan transformasi luar bandar di Baram, iaitu di kawasan tanah tinggi Sarawak, Kapit dan Kanowit di Hulu Rajang serta Limbang di utara.


Penyertaan sektor swasta di luar bandar akan menarik pelaburan bernilai lebih tinggi, mempromosi aktiviti pelancongan luar bandar dan agro-pelancongan, memasarkan produk melalui aplikasi digital dan media sosial serta menambah baik keupayaan untuk mendapatkan pekerjaan melalui peningkatan ilmu dan latihan kemahiran.


Dalam mengutamakan keterangkuman wilayah, kerajaan boleh membentuk sistem pengangkutan awam bersepadu antara bandar dengan desa, memastikan 10 syarikat tersenarai di setiap negeri membangun yang separuh daripadanya Bumiputera, mengurangkan perbezaan pendapatan antara wilayah serta menilai semula kuantiti dan kualiti tanah rizab Melayu.


Penulis adalah Penganalisis Penyelidik di EMIR Research



4 views
bottom of page