top of page

Pastikan 70 peratus kontraktor tempatan dapat kerja di projek mega



KUALA LUMPUR: Pembangunan pelbagai projek mega menerusi peruntukan dalam Belanjawan 2021 tidak harus sekadar menguntungkan kontraktor 'gergasi', lebih-lebih lagi syarikat asing.


Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat hari ini berkata, kerajaan harus memastikan sekurang-kurangnya 70 peratus penganugerahan kerja dalam projek mega terbabit, diagihkan kepada kontraktor tempatan.


Daripada 70 peratus itu, katanya, bolehlah diagihkan kepada kontraktor tempatan pelbagai kaum.


"Kerajaan memperuntukkan berbilion ringgit dalam projek besar yang akan dilaksanakan (dalam Belanjawan 2021). Lihat projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR), Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT), semua ini berapa bilion ringgit?


"Kebanyakan kontraktor yang dilantik (untuk projek mega itu), semuanya kontraktor besar, Bumiputera, tempatan tak ada kontraktor besar, kecil sahaja. Jadi saya nak Menteri Kewangan memastikan sekurang-kurangnya 70 peratus projek ini diberikan kepada syarikat tempatan.


"Kita kena bahagikan kepada kontraktor Melayu, Cina, India. Semua kita kena bagi. Kementerian Kewangan tolong ambil maklum perkara ini," katanya.


Malah beliau berkata dalam projek ECRL misalnya, kontraktor tempatan tidak diberikan tempat sewajarnya sebaliknya banyak projek diberikan kepada syarikat dari China.



114 views
bottom of page