top of page

Pasaran hartanah Johor dapat tiga rangsangan baharu


Pasaran hartanah Johor dapat tiga rangsangan baharu
Pelancaran semula projek HSR KL-Singapura, cadangan zon ekonomi khas Johor-Singapura dan semakan semula program MM2H merangsang pasaran hartanah - Foto hiasan

Pasaran hartanah Johor dapat tiga rangsangan baharu

KUALA LUMPUR: Pasaran hartanah di Johor mendapat suntikan baharu daripada beberapa aliran berita positif yang meningkatkan sentimen bakal pembeli, termasuk pelancaran semula projek kereta api berkelajuan tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR), demikian menurut penganalisis.


Penganalisis RHB Research, Loong Kok Wen, berkata sepanjang beberapa bulan lalu, aliran berita dilihat menggemari pasaran hartanah di Johor, terutamanya di Iskandar Malaysia .


"Perkara ini termasuk zon ekonomi khas Johor-Singapura yang dicadangkan, semakan semula program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) dan pelancaran semula projek HSR.


Malah, sektor hartanah sudahpun memperlihatkan momentum positif sejak awal Julai," katanya dalam satu nota penyelidikan.


Beliau menambah, nilai ringgit yang melemah dengan mendadak menjejaskan sentimen pasaran ekuiti pada suku kedua, namun nilai mata wang yang murah ini membantu mendorong perbelanjaan daripada pengunjung asing, terutamanya dari negara jiran iaitu Singapura.


"Ketika lawatan ke Johor baru-baru ini, kami dapati daripada rakan sekerja dan korporat bahawa pengunjung dari Singapura semakin bertambah bukan saja pada hujung minggu, tetapi bermula hari Jumaat.


"Dengan Sistem Transit Aliran Johor Bahru-Singapura (RTS) yang bakal siap pada akhir 2026, kemasukan pengunjung dari Singapura seharusnya meningkat biarpun pada hari minggu.


"Kami percaya hal ini dapat memberikan kesan limpahan yang positif terhadap pasaran hartanah tidak lama lagi," katanya.


Kok Wen berkata, risiko politik juga dijangka mereda selepas pilihan raya negeri (PRN) selesai dijalankan pada Ogos, dan hal ini patut membolehkan pentadbiran yang diterajui oleh Pakatan Harapan (PH) untuk melaksanakan agenda reformasi dan meneruskan projek-projek prasarana besar.


Dalam masa sama, katanya pasaran mungkin sedang menjangka tiada atau mungkin hanya ada satu lagi kenaikan kadar faedah pada separuh kedua 2023.


"Dengan penormalan kadar faedah yang hampir tamat, perkara ini dapat memberi sedikit kepastian, terutamanya buat pembeli rumah serta pelabur hartanah. Kadar gadai janji terkini adalah 4.5 hingga 4.7 peratus, iaitu kembali pada paras prapandemik," katanya.


RHB Research mengekalkan saranan wajaran tinggi terhadap saham-saham syarikat hartanah dengan pilihan utama ialah UEM Sunrise, IOI Properties dan Matrix Concepts.


"Memandangkan terdapat pemangkin daripada projek HSR dan RTS yang sudah pun berjalan, pilihan utama baharu kami ialah UEM Sunrise.


"Kami juga kekalkan IOI Properties dan Matrix Concepts sebagai pilihan utama disebabkan oleh asas-asas mereka yang kukuh serta pendedahan simpanan tanah masing-masing yang mungkin mendapat manfaat daripada projek HSR (jika jajaran di bawah cadangan terdahulu dikekalkan)," katanya.


Sementara itu, Penganalisis Maybank Investment Bank, Wong Wei Sum, berkata potensi penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura di Iskandar Malaysia akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan aktiviti komersial di wilayah itu.


"Ini sekali gus dijangka menarik populasi lebih besar dan memacu permintaan bagi hartanah. Penerima manfaat utama bagi potensi pembangunan ini termasuklah UEM Sunrise, Sunway, Eastern & Oriental (E&O), ECW dan AME Elite," katanya.


Sumber: Berita Harian


Pasaran hartanah Johor dapat tiga rangsangan baharu


12 views

Comments


bottom of page