top of page

Pasar Payang baharu dijangka mula operasi sebelum akhir tahun ini


Pasar Payang baharu dijangka mula operasi sebelum akhir tahun ini
Pasar Besar Kedai Payang baharu dijangka mula beroperasi sebelum hujung tahun ini.

Pasar Payang baharu dijangka mula operasi sebelum akhir tahun ini

KUALA TERENGGANU - Pasar Kedai Payang yang kini dalam proses akhir pembinaan dijangka akan mula beroperasi sebelum akhir tahun ini.


Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Rosli Latif berkata, dalam tempoh terdekat ini kontraktor kompleks berkenaan akan menyerahkan bangunan baharu itu kepada Kementerian Pembangunan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 19 Julai.


Katanya, pembinaan pusat perniagaan tradisional yang popular dalam kalangan pelancong itu telah dimulakan sejak lima tahun lalu dengan kos sebanyak RM69.3 juta.


"Selepas beberapa proses akhir selesai, peniaga-peniaga akan berpindah masuk ke bangunan baharu itu dan operasi perniagaan boleh bermula seperti biasa.


"Setakat ini jumlah peniaga yang akan berpindah itu belum diperincikan lagi. Kita akan meneliti semula senarai peniaga dan jenis perniagaan yang mereka jalankan di pasar sementara yang diduduki ketika ini," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Pasar Payang baharu dijangka mula operasi sebelum akhir tahun ini
Menara jam yang mempunyai nilai tarikan pelancong di Pasar Besar Kedai Payang.

Katanya, sebuah menara jam yang pernah menjadi mercu tanda Pasar Kedai Payang satu ketika dahulu juga dibina semula memandang ia begitu sinonim dengan penduduk Terengganu.


"Kita ada beberapa kemudahan antaranya penyaman udara, lif, tandas, eskalator dan bilik persalinan bayi yang kesemuanya lebih mesra warga emas, golongan ibu dan kanak-kanak serta Orang Kurang Upaya (OKU).


"Di samping itu, kompleks baharu ini juga akan menjadi pusat sehenti bagi kegiatan ekonomi, pelancongan dan kebudayaan Terengganu dijangka menempatkan semula 500 peniaga lama yang kini berniaga di kompleks sementara yang terletak tidak jauh dari kawasan itu," ujarnya.


Pasar Kedai Payang yang mula beroperasi pada 31 Ogos 1968 telah dirasmikan oleh Sultan Terengganu ke-16 iaitu Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah.


Pasar berkenaan menjadi tarikan utama pelancong bagi membeli produk warisan Terengganu antaranya batik, songket, makanan tradisional, tembaga dan kraf tangan.


Pembinaan pasar baharu bermula pada 2018 selepas kerajaan melalui Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan meluluskan pembinaan semula bangunan yang sangat daif untuk keselesaan dan keselamatan pengunjung.


Sumber: Sinar Harian


Pasar Payang baharu dijangka mula operasi sebelum akhir tahun ini


14 views

Comments


bottom of page