Peniaga Pasar Payang diberi tempoh sebulan untuk berpindah



KUALA TERENGGANU - Peniaga Pasar Payang diberikan tempoh selama sebulan iaitu sehingga 31 Julai ini untuk berpindah ke Pasar Payang 2 yang menjadi lokasi sementara untuk mereka meneruskan aktiviti niaga.


Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, tempoh itu diberikan atas permintaan peniaga kerana ada yang perlu membuat kerja-kerja pengubahsuaian di lot kedai mereka.


“Mereka sepatutnya berpindah 1 Julai, tapi ada yang memerlukan masa seperti kedai emas, mereka perlu buat renovasi bagi tujuan keselamatan. Mengambil kira faktor itu, kita benarkan tapi sehingga 31 Julai sahaja.


“Sebaik sahaja Pasar Payang dikosongkan, kita akan meneruskan kerja seterusnya iaitu pembinaan semula Pasar Payang di tapak asal,” katanya.


Mengulas mengenai isu keselamatan yang menjadi kebimbangan peniaga, Alias berkata, peniaga tidak perlu bimbang kerana pihaknya akan meletakkan pengawal di Pasar Payang 2.


“Kedai emas memang berbumbung kerana atas faktor keselamatan. Bagi lot kedai pula, walaupun tiada bumbung, tetapi masih di bawah bumbung besar, jadi bagi saya tiada masalah, lagipun ia hanyalah lokasi sementara.


“Tapi saya difahamkan ada yang buat kerja pengubahsuaian untuk tambah aspek keselamatan, tiada masalah, itu inisiatif mereka. Tapi penyelesaian yang kita buat, akan ada pengawal untuk memantau keselamatan di Pasar Payang 2, jangan bimbang,” katanya.


Sumber: Sinar Harian


#evolusibina #PasarPayang

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.