top of page

Pas istimewa sehari, tiga hari MRT, LRT, Monorail, BRT


PAS istimewa MyCity merupakan sebahagian daripada sumbangan Prasarana kepada industri pelancongan Malaysia melibatkan sistem perjalanan bersepadu rangkaian kereta api dan BRT meliputi kawasan Lembah Klang dan Selangor. - UTUSAN ONLINE

KUALA LUMPUR 22 April - Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) hari ini memperkenalkan pas istimewa MyCity ‘sehari’ dan ‘tiga hari’ untuk perjalanan tanpa had bagi perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT), Monorail dan Bas Rapid Transit (BRT) aliran Sunway.


Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana, Muhammad Nizam Alias berkata, pas-pas istimewa itu diperkenalkan bagi memenuhi permintaan pelanggan terutama dari kalangan pelancong antarabangsa serta pelanggan dari luar Kuala Lumpur dan Selangor.


Katanya, pas sehari itu dijual pada harga RM15 manakala pas tiga hari pula RM45 dengan menggunakan kad-kad perjalanan tanpa tunai seperti Touch ‘N Go dan direka bagi kemudahan pengguna di bandar raya.


“Pas istimewa ini memberi kemudahan yang sangat besar kepada pengguna bukan rakyat Malaysia dan bukan pelanggan biasa, untuk perjalanan tanpa had dalam tempoh masa yang singkat.


“Bagi pelanggan biasa kami, untuk perjalanan tanpa had mereka boleh menggunakan pas My100 bagi 30 hari menggunakan perkhidmatan rel dan rangkaian BRT,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Muhammad Nizam berkata, inisiatif itu juga merupakan sebahagian daripada sumbangan pihaknya kepada industri pelancongan negara.


“Pas MyCity sehari dan tiga hari ini boleh dibeli di semua stesen LRT, MRT, Monorail dan BRT. Pelanggan perlu memastikan kad-kad perjalanan tanpa tunai mereka mempunyai baki nilai minimum RM5 bagi melancarkan pergerakan mereka menerusi pintu tiket.


“Ketika ini, pakej berkenaan tidak meliputi perkhidmatan bas Rapid KL dan bas pengantara MRT,” katanya. - UTUSAN ONLINE



49 views
bottom of page