top of page

PARLIMEN: 'Cuma batal pinjaman, bukan projek'


Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. - IHSAN JABATAN PENERANGAN MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan tidak meneruskan pinjaman daripada Bank Pembangunan Asia (ADB) untuk projek Transit Aliran Ringan (LRT) di Pulau Pinang cuma membabitkan sumber pembiayaan dan bukan pembatalan projek.


Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata isu jaminan pinjaman daripada ADB tidak berbangkit kerana perkara ini belum dibentangkan untuk kelulusan Jemaah Menteri.


Pada 18 Julai 2019, katanya, bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, mengeluarkan surat tiada halangan kepada ADB melaksanakan ketekunan wajar, namun kebenaran itu tidak memberi apa-apa obligasi di bawah undang-undang domestik atau antarabangsa, selain tidak boleh ditafsir sebagai perjanjian yang mengikat kerajaan.


"Justeru, Kementerian Kewangan tidak menerima laporan ketekunan wajar daripada ADB dan isu jaminan pinjaman daripada ADB tidak berbangkit kerana ia belum dibentangkan untuk kelulusan Jemaah Menteri.


"Oleh itu, dakwaan YB Bagan (Guan Eng) bahawa Kerajaan Persekutuan tidak prihatin terhadap pembangunan Pulau Pinang adalah tidak benar sama sekali," katanya.


Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat, hari ini.


Guan Eng sebelum ini mempertikaikan keputusan kerajaan membatalkan jaminan pinjaman RM2 bilion daripada ADB untuk projek berkenaan, dengan mendakwa keputusan seolah-olah 'dendam politik' terhadap rakyat Pulau Pinang.


Tengku Zafrul berkata, mesyuarat Jemaah Menteri pada 19 Julai 2019 juga bersetuju kerajaan negeri tidak boleh membuat pinjaman membabitkan jaminan kerajaan tanpa kelulusan Kerajaan Persekutuan.


"Ini bagi mengelak bebanan hutang ke atas kedudukan kewangan kerajaan. Sebarang kelulusan terhadap pinjaman baharu yang membabitkan jaminan kerajaan mesti dipastikan tidak menjadikan jumlah hutang kerajaan melebihi had siling statutori ditetapkan," katanya.


Beliau berkata, keputusan Kementerian Kewangan tidak meneruskan pinjaman daripada ADB selaras dengan pandangan Bank Negara kerana pasaran kewangan Malaysia mempunyai kecairan tinggi dan kerajaan boleh memperoleh dana pasaran tempatan.


"Selain itu, kadar pinjaman keseluruhan ditawarkan ADB adalah 40 peratus lebih tinggi berbanding kadar Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS)," katanya.


69 views
bottom of page