Alor Gajah: Paras air di tiga empangan utama di Melaka yang melebihi 90 peratus ketika ini dijangka mampu bertahan sehingga November depan untuk dibekalkan kepada penduduk tanpa perlu diadakan catuan air.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, isu yang menjadi kerisauan rakyat di Melaka adalah catuan air berikutan cuaca panas kesan daripada fenomena El Nino.
"Setakat ini dengan paras air sedia ada, kita boleh melangkaui kepada fenomena El Nino yang dijangka tamat pada September dan bertahan hingga November.
"Pihak BKSA (Badan Kawan Selia Air) dan SAMB (Syarikat Air Melaka Berhad) sudah mengambil pelbagai langkah berkaitan (menangani isu bekalan air)," katanya pada sidang media selepas meninjau keadaan paras air semasa Empangan Durian Tunggal, di sini, hari ini.
Beliau berkata, sebelum ini catuan air dirancang jika paras air turun ke bawah 70 peratus, namun bekalan air di tiga empangan di Jus, Asahan dan Durian Tunggal berada pada tahap melebihi 90 peratus.
Ditanya mengenai Empangan Jernih, di sini, Hameed berkata, pembinaannya adalah mengikut jadual dan kini mencapai 10 peratus.
"Pembinaan Empangan Jernih adalah mengikut jadual dan dijangka siap pada hujung November 2024.
"Walaupun bermula sedikit lewat, kontraktor sudah dapat mengejar sasaran mengikut masa," katanya.
Untuk rekod, kemarau panjang pada hujung 2019 menyebabkan catuan air terpaksa dilaksanakan di Melaka bermula 29 Januari hingga pertengahan April 2020.
Sumber: Harian Metro
Paras air empangan mencukupi, tak perlu catuan air di Melaka
Comments