top of page

IWK, SAMB bangunkan air pulih guna di Melaka


Narendran (kiri) bertukar dokumen perjanjian bersama dengan Abd Rashid (kanan) yang disaksikan oleh Ahmad Masrizal, Sulaiman, Zaidi dan Roslan pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman yang diadakan di Melaka pada Rabu.

MELAKA - Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) dan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk berkerjasama mempelopori usaha membangunkan air pulih guna di negeri ini pada Rabu.


Pada majlis itu, IWK diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Narendran Maniam manakala SAMB diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abd Rashid Abd Rahman.


Majlis menandatangani MoU berkenaan disaksikan oleh Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Senator Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Dr Sulaiman Md Ali.


Turut hadir Timbalan Pengerusi SAMB, Datuk Zaidi Attan dan Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam dan Infrastruktur negeri, Datuk Roslan Ahmad.


Narendran berkata, kerjasama itu merupakan salah satu inisiatif bagi meningkatkan industri perkhidmatan air yang lebih mampan.


Menurutnya, melalui MoU berkenaan, IWK bertanggungjawab untuk mengenal pasti lokasi dan kapasiti yang sesuai untuk projek Loji Rawatan Air Pulih Guna (LRAP), menyediakan data dan maklumat yang berkaitan dengan skop projek, melaksanakan reka bentuk awalan serta menyalurkan maklumat teknikal yang berkaitan pembangunan projek tersebut.


“SAMB pula bertanggungjawab untuk mengenal pasti kawasan tadahan yang sesuai untuk projek berkenaan, mendapatkan pelanggan yang bersetuju menggunakan air pulih guna di kawasan perindustrian dan menyediakan data serta maklumat teknikal yang diperlukan.


“SAMB menjangkakan penggunaan air pulih guna tersebut adalah sebanyak 15 juta liter sehari. Air pulih guna yang dirawat daripada Loji Rawatan Kumbahan IWK berpotensi untuk diguna semula selepas rawatan tambahan dibuat untuk tujuan kegunaan bukan minuman,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.


Narendran berkata, inisiatif itu bukan sahaja membuka peluang kepada operator air mendapatkan sumber air alternatif bagi tujuan air bukan minuman, malah dapat mengurangkan tekanan kepada sumber air sekali gus meningkatkan usaha kitaran ekonomi.


“Persetujuan SAMB untuk memulakan usahasama ini membuktikan komitmen syarikat berkenaan dalam usaha memproses air pulih guna bagi mengurangkan bebanan permintaan kepada bekalan air bersih di negeri Melaka.


“Gandingan usahasama ini adalah bertujuan untuk membekalkan air pulih guna bagi tujuan bukan minuman terutama kepada para industri di Melaka. Air pulih guna ini sesuai digunakan dalam proses-proses pengilangan barangan bukan berasaskan makanan seperti perindustrian elektronik dan sebagainya,” katanya.


Narendran berkata, efluen terawat yang dihasilkan daripada rawatan air sisa akan melalui proses teknologi moden di LRAP yang dibina khas di dalam kawasan loji rawatan air sisa selenggaraan IWK.


“Air pulih guna yang telah siap diproses akan disalurkan melalui paip khas yang disalurkan terus kepada kilang-kilang yang memerlukan,” katanya.


KASA juga telah mensasarkan penghasilan bekalan air pulih guna pada kadar 1,500 juta liter sehari pada tahun 2030 dan ini juga adalah selaras dengan Pelan Induk Teknologi Hijau 2017-2030 yang menyokong cadangan penghasilan air pulih guna untuk diguna pakai.


Usahasama IWK dan SAMB ini mendapat sokongan KASA dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), dan ianya adalah satu lagi langkah ke hadapan dalam memastikan Malaysia mampu mencapai sasaran yang telah ditetapkan dalam Matlamat Pembangunan Lestari oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).


Sumber: Sinar Harian

11 views

Comentarios


bottom of page