top of page

Pansar Bhd dapat kontrak lebuhraya Pan Borneo


Gambar fail: Lebuhraya Pan Borneo

KUALA LUMPUR: Pansar Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, Pansar Company Sdn Bhd menerima dua surat pelantikan berkaitan pembangunan dan naik taraf cadangan Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak bernilai RM72.06 juta.


Pansar menerusi kenyataan hari ini berkata satu daripadanya adalah daripada Dermaga Makmur Sdn Bhd bagi pembekalan dan penghantaran pengadang trafik untuk laluan dari Jambatan Sungai Kua ke Jambatan Sungai Arip (projek pertama).


Surat lain diberikan oleh Hart Builders Sdn Bhd untuk membekalkan dan menghantar pengadang trafik untuk laluan dari Persimpangan Pantu ke Batang Skrang (projek kedua).

Tempoh kontrak bagi projek pertama adalah selama 21 bulan dan kerja penghantaran akan bermula pada Julai 2020, manakala untuk projek kedua, tempoh kontrak selama 18 bulan dengan kerja penghantaran mulai September 2020.


Pengurus Besar Bahagian Perniagaan Pansar, David Tai Wei berkata kedua-dua projek itu dijangka menyumbang secara positif kepada keuntungan dan aset bersih Pansar atas kemajuan sepanjang tempoh kontrak.


"Pelantikan Pansar bagi projek baharu ini adalah bukti kepakaran syarikat dalam segmen produk pembinaan, dan kami yakin dengan prospek pertumbuhan kerja-kerja kejuruteraan kami bagi masa hadapan," katanya dalam kenyataan itu.


Syarikat berpangkalan di Sarawak yang ditubuhkan pada 1961 itu menjalankan perniagaan pemasaran dan pengedaran produk pembinaan; kejuruteraan perindustrian dan marin; kejuruteraan agro; pembekalan automasi pejabat dan elektrik; serta elektrik dan mekanikal. - Bernama



19 views
bottom of page