top of page

Pan Borneo Sarawak dijangka siap Ogos 2022



PROJEK Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) Sarawak sepanjang 786.41 kilometer yang mula dibina pada Oktober 2015 dijangka siap sepenuhnya menjelang Ogos 2022 berbanding tarikh asal Jun tahun depan.


Tarikh baharu itu ditetapkan apabila projek itu dilaksanakan menerusi modul konvensional selepas Kementerian Kerja Raya mengambil alih sepenuhnya projek mega itu dari Rakan Pelaksana Projek (PDP), Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd berkuat kuasa, hari ini.


Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, sebelum ini PDP menetapkan projek berkenaan siap pada 30 Jun 2021, namun berdasarkan laporan oleh PDP pada Januari lalu, kemajuan sebenar projek adalah 44.21 peratus berbanding 47.82 peratus seperti yang dijadualkan bagi penyiapan projek pada 30 Ogos 2021.



“Ini bermakna projek itu mengalami kelewatan dua bulan selepas tarikh siap perjanjian PDP pada 30 Jun 2021.


“Bagaimanapun, berdasarkan semakan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dan jurutera perunding bebas Opus (ICE) yang menggunapakai PDP’s Works Programme Rev.1 pada Januari 2020, kemajuan sebenar projek ialah 45.81 peratus berbanding 61.23 peratus dengan tempoh siap baharu pada Disember 2021,” katanya pada sidang media selepas Majlis Hala Tuju Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak, di sini, hari ini.


Baru berkata, dalam pertemuan dengan 11 Kontraktor Pakej Kerja (WPC) baru-baru ini pula, projek dijangka siap selewat-lewatnya sehingga Ogos 2022.


“Sehubungan itu, dalam tempoh transisi selama bulan tiga bulan ini iaitu Februari hingga April 2020, JKR Sarawak akan membuat penelitian ke atas program kerja kontraktor.


“Kita akan usahakan projek itu siap pada 2022 dan bagi WPC yang mengalami kelewatan, kita akan cuba bantu mereka supaya menyiapkan kerja dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.


Sementara itu, ketika berucap pada majlis itu, Baru berkata, anggaran penjimatan bagi projek LPB di Sarawak berdasarkan perbezaan keseluruhan kos pembangunan di antara model Rakan Pelaksana Projek (PDP) dengan kaedah konvensional adalah sebanyak RM2.865 bilion.


Beliau berkata, anggaran penjimatan itu dibuat selepas mengambil kira kos pembangunan model PDP sebanyak RM21.857 bilion termasuk kos pembinaan yang ditandatangani.


“Melalui kaedah konvensional yang menjadi hala tuju baharu projek ini, anggaran kos pembangunan keseluruhan adalah RM18.992 bilion dengan mengambil kira kos-kos PDP sehingga penamatan PDP pada 20 Februari 2020.


“LPB di Sarawak merangkumi 11 pakej WPC dengan satu pakej kerja iaitu jajaran Telok Melano ke Semantan sepanjang 33 kilometer siap mengikut jadual pada 6 Januari 2019,” katanya.


Sumber: Harian Metro


26 views
bottom of page