top of page

Pan Borneo dijangka jimat RM2 bilion


Gambar hiasan. Sumber: Pan Borneo

KUCHING: Lebuh Raya Borneo Utara (LBU), rakan pelaksana projek (PDP) bagi pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak, yakin mampu mencapai penjimatan kos hampir RM2 bilion, berikutan perubahan kawalan pengurusan serta penghasilan reka bentuk yang cekap.


Jurucakap syarikat terbabit dalam kenyataan hari ini berkata, jumlah kos pembinaan lebuh raya itu kini diunjurkan kira-kira RM15.13 bilion, dikurangkan daripada sasaran kos siling asal berjumlah RM16.488 bilion.


Menurut kenyataan itu, jumlah penjimatan kos yang terhasil daripada pengurusan reka bentuk dan pengoptimalan adalah kira-kira RM553 juta.


“Penjimatan dibuat dengan mematuhi reka bentuk dan tanpa kompromi terhadap piawaian atau kualiti lebuh raya, termasuk kelajuan reka bentuk.


“Apabila penjimatan lain dimasukkan (terutamanya disebabkan kuantiti semula yang diukur berdasarkan keadaan tapak sebenar), jumlah penjimatan yang dicapai sehingga kini adalah sekitar RM1.5 bilion,” katanya.


Bagaimanapun, berikutan pemilik projek iaitu Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak mengarahkan kerja-kerja tambahan dijalankan terutamanya berkaitan dengan pengukuhan struktur, simpanan bersih semasanya kini berjumlah RM1 bilion.


Beliau berkata, penjimatan selanjutnya berjumlah RM1 bilion dijangka daripada pelan kontinjensi yang diperuntukkan tidak mungkin dibelanjakan berikutan kos dan langkah perubahan kawalan yang diambil untuk projek itu.


Lebuhraya Pan Borneo Sarawak Fasa 1 merangkumi 786 kilometer jalan raya, melalui 11 pakej dan dijangka disiapkan pada penghujung 2021.



43 views
bottom of page