top of page

Pan Borneo antara punca kemalangan



LEBUHRAYA Pan Borneo yang dalam pembinaan menjadi salah satu punca kemalangan di Sarawak meningkat tahun lalu.


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, kerja pembinaan di sepanjang 1,377 kilometer dari Sematan, Lundu sehingga ke Lawas itu menjadikan keadaan jalan raya kurang selamat.


“Kemalangan berlaku kerana jalan yang dilencongkan, jalan menjadi sempit serta jalan licin terutama selepas hujan,” katanya.


Beliau menyatakan demikian pada Sidang Media Sinopsis, Statistik Kejayaan dan Pencapaian PDRM Kontinjen Sarawak Bagi Tahun 2019 di ibu pejabat Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak di sini, hari ini.

Hadir sama Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Ramli Din; Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Dev Kumar; Komander PGA Briged Sarawak SAC Datuk Khaw Kok Chin serta ketua-ketua jabatan PDRM Kontinjen Sarawak.


Alexson berkata, pertambahan jumlah kenderaan berdaftar di Sarawak iaitu melebihi 100,000 dalam tempoh setahun atau peningkatan sebanyak 7.7 peratus juga menyebabkan kadar kemalangan sukar diturunkan.


Menurutnya, ketika jumlah kenderaan berdaftar di Sarawak adalah sebanyak 1,784,785 buah.


Beliau menambah punca yang menyebabkan peningkatan kemalangan ialah sikap pengguna sendiri yang tidak mementingkan aspek keselamatan dan kesedaran mematuhi peraturan jalan raya.


Selain itu katanya, analisis menunjukkan kebanyakan kemalangan khususnya kemalangan maut berlaku semasa melalui selekoh dan terbabas.


Terdahulu, Alexson berkata kadar kemalangan jalan raya di Sarawak menunjukkan peningkatan sebanyak 742 kes atau 3.6 peratus pada tahun lepas, apabila merekodkan sejumlah 21,342 kes berbanding 20,600 kes pada 2018.


Dari segi kemalangan maut, beliau berkata ia mencatatkan peningkatan 30 kes daripada 322 kes pada 2018 kepada 352 kes pada 2019 di mana jumlah kematian turut meningkat sebanyak 34 iaitu daripada 335 kematian pada 2018 kepada 369 kematian tahun lepas.


Bagi jumlah kemalangan parah pula, Alexson berkata sebanyak 197 kes direkodkan tahun lepas, iaitu penurunan 7 kes daripada 204 kes yang direkodkan pada 2018.


Sumber: Harian Metro


15 views
bottom of page