Pahang jamin tindakan 24 jam aduan jalan rosak
- Ridhwanisme
- Dec 29, 2022
- 1 min read

KUANTAN: Kerajaan negeri akan mengambil tindakan terhadap aduan dan makluman orang ramai berkaitan kerosakan jalan raya di negeri itu dalam tempoh 24 jam.
EXCO Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan negeri, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff bagaimanapun berkata, ia bergantung kepada tahap kerosakan jalan di bawah bidang kuasa Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri.
Beliau berkata, tindakan itu diambil susulan pelbagai aduan diterima berhubung permasalahan jalan rosak di seluruh negeri.
"Kerajaan negeri berusaha untuk menyelesaikan setiap aduan dalam tempoh sekurang-kurangnya 24 jam selaras dengan ketetapan piagam pelanggan JKR Malaysia.
"Arahan telahpun dikeluarkan kepada pihak JKR supaya mengambil tindakan yang lebih proaktif dan segera terhadap segala aduan awam yang diterima," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perjumpaan Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang bersama Pihak Konsesi Penyelenggaraan Jalan Negeri di Kompleks Tun Razak (KOMTUR) di sini, semalam.
Yang turut hadir, Pengarah JKR negeri, Datuk Hafizah Zakaria.
Beliau berkata, kerosakan terutama jalan berlubang perlu dibaiki segera kerana mengundang bahaya kepada pengguna terutama penunggang motosikal sekiranya hujan lebat dan di waktu malam.
"Di media sosial, rakyat terus mengadu dan mengeluh mereka cedera terlanggar lubang akibat takungan air terutamanya penunggang motosikal.
"Jadi saya amat berharap pihak konsesi dapat mengambil tindakan segera terhadap isu keselamatan dan kerosakan jalan raya ini," katanya.
Sumber: Berita Harian
留言