top of page

Orang awam perlu memahami laporan EIA, mitigasi projek tambak laut


Gambar hiasan

Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) bagi Projek Tambakan Pulau Pinang Selatan (PSR) sedang dipamerkan kepada orang awam dari 20 Mei hingga 18 Jun 2022.


Pengarah kejuruteraan pinggir laut dan hidraulik dari firma perunding Dr Nik and Associates, Nik Abdullah Muaz Nik Mohd Kamel menjelaskan, apa sebenarnya laporan EIA dan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) serta peranannya dalam mengawal dan mengurangkan kesan penambakan PSR.


Soalan (S): Apakah laporan EIA dan tujuannya?

Jawapan (J): EIA adalah kajian yang menilai kesan berpotensi berlaku akibat pelaksanaan pembangunan dikategorikan sebagai 'aktiviti yang ditetapkan' mengikut Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti yang ditetapkan) (EIA) 2015.


Di bawah subseksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mana-mana pihak yang hendak menjalankan aktiviti ditetapkan yang boleh mengakibatkan kesan yang bererti pada alam sekeliling wajib mengemukakan laporan EIA kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS).


Antara aktiviti ditetapkan adalah projek pengorekan, penebusgunaan tanah (penambakan), aktiviti pertanian melebihi kawasan 20 hektar, projek akuakultur berasaskan penggunaan tanah, aktiviti kuari, pembinaan stesen jana kuasa, infrastruktur pengangkutan, pembangunan kawasan pinggir laut dan cerun, pembangunan bandar baharu dan lain-lain.


Tujuan laporan EIA adalah untuk mengenal pasti kesan alam sekeliling, sosial dan kesihatan yang berpotensi timbul akibat sesuatu pembangunan dicadangkan dan mencadangkan langkah mitigasi sesuai.


S: Apakah proses yang terbabit dalam penyediaan laporan EIA dan maklumat terkandung dalam dokumen itu?

J: Peringkat utama dalam proses EIA adalah: • Definisi projek (terma rujukan) - mendefinisikan kenyataan keperluan, saiz dan sifat projek.

• Penyaringan - memutuskan sama ada laporan EIA diperlukan.

• Skop - memutuskan perkara yang perlu dilaporkan dalam EIA.

• Penyediaan laporan EIA - menjalankan dan melaporkan kajian garis dasar, ramalan kesan alam sekitar dan mencadangkan langkah mitigasi.

• Permohonan dan konsultasi - laporan EIA dan permohonan projek dihebahkan secara umum dan pihak berkepentingan serta orang awam diberi peluang memberi maklum balas.

• Keputusan - pihak berkuasa berkaitan (JAS) dan panel pakar mempertimbangkan laporan EIA dan komen mengenainya untuk memutus sama ada projek boleh diluluskan, dan menghebahkan keputusan itu.

• Pasca keputusan - pemilik projek atau pemaju memulakan pemantauan yang diwajibkan oleh pihak berkuasa.

Isi kandungan utama laporan EIA merangkumi:

• Pematuhan projek kepada keperluan undang-undang dan garis panduan perancangan.

• Keadaan garis dasar (baseline) persekitaran fizikal, biologi dan manusia di tapak projek, serta kawasan sensitif alam sekitar.

• Perincian cadangan metodologi, aktiviti projek, dan cadangan langkah mitigasi yang akan dilaksanakan.

• Penilaian kesan projek yang berpotensi kepada alam sekitar.


Pemilik projek perlu memahami keperluan undang-undang, mematuhi semua syarat kelulusan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa, serta komited untuk melaksana dan menyediakan dana yang mencukupi untuk menjayakan langkah mitigasi yang dicadangkan.


Selain JAS, pemilik projek juga perlu mematuhi syarat yang ditetapkan oleh jabatan lain seperti PLANMalaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Laut Malaysia dan sebagainya.


S: Apakah itu EMP?

J: EMP adalah alat atau dokumen panduan untuk mengukur dan mencapai pematuhan kepada keperluan melindungi alam sekitar dan melaksanakan langkah mitigasi seperti yang telah ditetapkan dalam laporan EIA.


EMP mesti dikemukakan kepada JAS untuk kelulusan sebelum projek dibenarkan memulakan kerja fizikal di tapak.


S: Bagaimanakah laporan EIA dan EMP membantu meminimumkan kesan alam sekitar dalam projek pembangunan?

J: Laporan EIA akan meneliti dan mengenal pasti kawasan sensitif alam sekitar dan kesan projek. Untuk meminimumkan kesan ini, langkah mitigasi dan program pemantauan akan disyorkan untuk memastikan projek dijalankan secara hemat.


Adakalanya, kesan projek tidak dapat dielakkan. Maka, tadbir urus dan langkah kawalan yang baik adalah perlu di tapak projek.


S: Apakah langkah mitigasi yang dilaksanakan untuk meminimumkan kesan alam sekitar dalam projek penambakan?

J: Penyesuaian dan amalan pengurusan terbaik adalah diperlukan. Pasukan pelaksana wajib memahami dan meneliti keadaan di tapak projek dari masa ke masa untuk memastikan keberkesanan langkah mitigasi itu.


Stesen pemantauan kualiti udara, kualiti air, bunyi dan lain-lain mesti ditempatkan secara strategik dalam kawasan tapak projek dan berhampiran dengan kawasan sensitif alam sekitar untuk memastikan bacaan mematuhi had piawaian.


Pemilik projek mesti berhenti kerja dan mengambil langkah pemulihan sekiranya bacaan melebihi had piawaian.


Alat pemantauan kekeruhan/kelodakan akan memantau kualiti air untuk mengelak serakan air akibat bahan korekan.


Sistem dalam talian ini akan mencetuskan amaran kepada pasukan pemantauan sekiranya tahap kekeruhan melepasi had yang dibenarkan.


Untuk mengawal tahap kekeruhan, ban perimeter akan dibina di tapak penambakan sebelum proses pengisian pasir. Tirai kelodak juga dipasang untuk tujuan yang sama. Selain itu, penggunaan Sistem Pengurusan Pengorekan dan Lambakan (DDMS) boleh mengesan pergerakan kapal korek dari tapak pengorekan ke tapak projek dan tapak pelupusan untuk mencegah kerja pengorekan yang tidak terkawal dan pembuangan secara haram.


S: Pada pandangan anda, mengapa pihak pertubuhan bukan kerajaan dan aktivis tetap mengkritik projek pembangunan baharu walaupun kelulusan EIA telah diperolehi?

J: Saya berpendapat, mereka mahu permahaman dan kebimbangan mereka mengenai kesan dan impak pembangunan terhadap alam sekitar itu diberi perhatian. Kebimbangan mereka boleh ditangani melalui sesi libat urus yang menerangkan pembangunan itu serta langkah kawalan dan mitigasi yang akan dijalankan.


Pihak JAS mempunyai garis panduan untuk EIA bagi tujuan menjaga kelestarian alam sekitar dengan berkonsepkan pembangunan yang mampan. Sesetengah pihak juga mungkin menyuarakan bantahan kerana mereka akan terkesan dalam pelaksanaan projek dan kemungkinan memerlukan pampasan yang sewajarnya.


Perkara ini perlu ditangani oleh penggerak projek secara holistik tanpa membebankan serta memudaratkan mana-mana pihak.


Sumber: Berita Harian

Comments


bottom of page