top of page

Optimumkan peranan arkitek landskap dalam projek pembangunan


Arkitek perlu mengambil kira kepentingan ruang hijau awam ketika merancang reka bentuk fizikal dan susunan unsur binaan. - Foto hiasan (Sumber: Harian Metro)

SEHINGGA kini negara mempunyai lebih 400 arkitek landskap yang aktif dan berdaftar dengan Institut Landskap Arkitek Malaysia (ILAM) sebagai badan pertubuhan profesional mengawal selia kerjaya ahli profesional serta graduan, selain siswa.


Peranan dan tugas arkitek landskap membabitkan seni perancangan dan reka bentuk lestari, pengurusan persekitaran serta pemuliharaan alam semula jadi, di samping memastikan kelangsungan sumber sejarah, warisan dan budaya setempat secara betul dan berterusan.


Ia menjadi sumbangan sangat besar dan bermakna di negara kita yang sedang menuju ke arah negara maju. Malaysia perlu dilihat sebagai negara mempunyai komitmen tinggi dan berterusan ke atas perancangan serta reka bentuk landskap lestari, sejahtera, selamat dan berdaya huni untuk masa hadapan.


Dalam setiap perancangan dan reka bentuk landskap bandar umpamanya, pengekalan kepada sumberjaya setempat mempunyai peranan sangat penting bagi menghasilkan reka bentuk landskap bertindak balas ke atas persekitaran, sekali gus menjamin kelestarian berterusan.


Keadaan seperti pengekalan tumbuhan asal, meminimumkan penarahan teres bukit dan mengadaptasikan sumber alam sedia ada dalam perancangan serta reka bentuk ialah langkah yang perlu diketengahkan sebagai pengekalan dan pemuliharaan berterusan, di samping menghasilkan reka bentuk landskap sejahtera dan mesra alam sekitar.


Perancangan dan reka bentuk landskap juga dilihat dapat mengurangkan kesan kepada krisis COVID-19 yang sedang melanda negara dan dunia. Ini dapat dilihat melalui penggunaan taman awam sebagai tempat menghilangkan risiko tekanan perasaan berlarutan akibat wabak melanda.


Peranan taman dan reka bentuk landskap bandar juga dapat menjadi ruangan semula jadi kepada proses transmisi penyakit bawaan binatang supaya tidak terus sampai kepada manusia.


Selain itu, peranan arkitek landskap dalam memastikan setiap pembangunan dirancang berdasarkan kesesuaian tapak itu sendiri. Kajian kepada keupayaan tampungan setiap tapak ke atas sesuatu jenis pembangunan perlu diambil kira pada peringkat awal perancangan lagi supaya tiada kesan perkitaran akan timbul selepas proses pembinaan siap dilakukan.


Contohnya, kesan kepada penukaran parit semula jadi sedia ada kepada longkang konkrit bersaiz kecil memang tidak dapat menampung larian dan luruan air hujan deras serta lebat sehingga menyumbang berlaku banjir kilat.


Pengkhususan ini termasuk, penilaian analitikal tanah dan memberi tumpuan kepada kesesuaian tapak untuk pembangunan. Ia memerlukan pengetahuan khusus mengenai peraturan alam sekitar dan pembangunan, termasuk penyediaan kenyataan kesan alam sekitar, analisis visual, penambakan landskap serta pengurusan zon sungai dan pantai.


Arkitek landskap juga berperanan membangunkan perancangan untuk kawasan semula jadi luas sebagai sebahagian taman negara, hutan atau sistem perlindungan hidupan liar.


Kajian keupayaan tampungan tapak juga memberi tumpuan kepada reka bentuk fizikal dan susunan unsur binaan serta semula jadi bagi sesuatu bidang tanah. Lebih khusus lagi, reka bentuk tapak membabitkan penyepaduan teratur, cekap, estetik dan sensitif ekologi bagi objek buatan manusia dengan ciri semula jadi tapak termasuk topografi, tumbuh-tumbuhan, saliran, air, hidupan liar dan iklim.


Ini juga dapat menyumbang kepada perancangan dan reka bentuk keseluruhan landskap bandar selamat, sejahtera dan berdaya huni secara berterusan.


Dalam 17 Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN), arkitek landskap dilihat mempunyai peranan sangat besar dalam membuat kemajuan dan menyelesaikan masalah alam sekitar serta kehidupan manusia secara kolektif.


Contohnya, arkitek landskap diperlukan dalam menyumbang kepakaran untuk mencapai matlamat kedua - bertujuan menamatkan kelaparan, mencapai keselamatan makanan dan pemakanan lebih baik serta menggalakkan pertanian mampan - bekerjasama dengan komuniti pertanian bagi meningkatkan produktiviti ladang kecil mewujudkan amalan pertanian mampan dan berdaya tahan serta mengekalkan ekosistem, selain mengukuhkan kapasiti untuk bertindak balas terhadap perubahan iklim.


Dengan situasi dan keadaan sekarang, arkitek landskap perlu melihat cara bekerja ke arah SDG yang menumpukan pada matlamat ke-13 yang memperkatakan tindakan iklim; memfokuskan kehidupan di bawah air (matlamat ke-14) dan melihat kehidupan di darat (matlamat ke-15). Matlamat ini perlu diolah dengan lebih terperinci oleh arkitek landskap supaya keberkesanan kepada kelestarian akan terhasil, sekali gus mengkaji bagaimana fenomena alam dapat ditangani melalui perancangan dan reka bentuk landskap lestari.


Lebih spesifik, peranan arkitek landskap dalam menangani matlamat ke-11 - 'menjadikan bandar dan penempatan manusia inklusif, selamat, berdaya tahan serta mampan' - banyak menyentuh peranan dan fungsi perancangan serta reka bentuk landskap bandar.


Selain menyedia dan menghasilkan reka bentuk universal selamat serta inklusif terutama sekali kepada orang kurang upaya (OKU), kepentingan ruang hijau awam diketengahkan.


Perkataan inklusif itu sendiri menunjukkan betapa pentingnya pemahaman kepada kehendak dan keperluan semasa manusia ke atas reka bentuk landskap bandar. Ia juga memberi peluang kepada arkitek landskap bekerja secara kolaboratif dengan profesional perancangan dan reka bentuk lain.


Dalam pada itu, kemajuan dalam teknologi komputer, sistem maklumat geografi umpamanya, menjadi alat sangat penting dalam menyokong pembuatan keputusan berkaitan alam sekitar bermaklumat dan kompleks.


Oleh itu, pada waktu sekarang dan tahun mendatang menjanjikan banyak perkembangan dan cabaran baharu kepada profesion arkitek landskap semakin meluas dan mencabar.


Dengan kebimbangan alam sekitar menjadi semakin penting, arkitek landskap perlu lebih dilibatkan dalam semua projek pembangunan dan secara aktif bertindak menyelesaikan masalah kompleks berkaitan pemeliharaan alam sekitar, kesan perubahan iklim dan proses urbanisasi, fenomena alam sekitar seperti banjir besar serta krisis COVID-19.


Penulis adalah Profesor Madya di Jabatan Seni Bina Landskap, Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar (KAED), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)


Sumber: Berita Harian

93 views
bottom of page