top of page

Nyawa sudah melayang, bila jalan berlubang nak selesai?


keadaan jalan berlubang JKR
GAMBAR HIASAN

keadaan jalan berlubang JKR

Pada 10 Februari lalu, seorang pemuda, Hafizi Murshid, 35, yang baru enam hari mendirikan rumah tangga maut selepas motosikal yang ditunggang melanggar lubang di Jalan Temerloh-Jerantut, Pahang.


Kematian mangsa ketika pulang dari bekerja itu bukan sahaja menyedihkan ahli keluarganya, malah isterinya juga bertukar status dalam sekelip mata.


Pada 15 Februari lalu, warga emas, Jama Rusly Amin, 76, nyaris maut selepas terjatuh da­ripada motosikal setelah terlanggar lubang jalan dalam kejadian di Jalan Triang, Bera.


Seminggu sebelum itu, penunggang motosikal, Azman Jainudin, 60, cedera selepas terjatuh atas jalan sama setelah tayar motosikalnya terperosok ke dalam lubang jalan.


Itu sebahagian cerita-cerita duka masyarakat marhaen yang terkorban dan nyaris maut angkara jalan berlubang di Pahang.


Mungkin banyak lagi kejadian yang tidak dilaporkan dan itu tidak termasuk kejadian kerosakan kenderaan yang berpunca akibat jalan berlubang yang membebankan rakyat.


Biarpun angka meragut nyawa dan kes tersebut meningkat, namun isu jalan yang begitu dekat di hati rakyat negara ini seolah-olah dipandang sepi oleh pihak yang terlibat.


Pergilah ke mana-mana pun masalah jalan berlubang masih ada.


Seperti komen rakyat marhaen adakah kejadian meragut nyawa melibatkan kehila­ngan nyawa atau melibatkan orang kenamaan baru jalan dibaiki atau diturap.


Pakar Keselamatan Jalan Raya, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Law Teik Hua yang menggambarkan keadaan jalan raya negara ini bagaikan baju koyak yang ditampal berkata, pengurusan masalah jalan berlubang sudah tidak lagi sesuai dan pendekatan baharu perlu dilakukan untuk mengatasinya.


Menurut beliau, kaedah menyelenggara jalan dilaksana mengikut jadual ditetapkan sehingga ada jalan yang masih elok diturap semula, tetapi yang berlubang dibiarkan perlulah diubah.


Jelas Teik Hua, sepatutnya jalan yang teruk perlu ditar kerana penampalan struktur baharu sudah tidak sebati dan akan menyebabkan ia rosak kembali seterusnya membahayakan pengguna dan berlaku pembaziran.


“Kaedah pemantauan perlu diperhebatkan termasuk menggunakan teknologi terkini seperti dron dan setiap aduan harus diambil tindakan segera dengan menampal atau membaiki jalan yang berlubang dan rosak.


“Dalam isu jalan berlubang yang semakin ‘hebat’ termasuk memakan belanja bilion ringgit soal kualiti jalan turut dibangkitkan rakyat. Yang menimbulkan persoalan mengenai kualiti jalan dan peranan sebenar Jabatan Kerja Raya (JKR).


“JKR yang mempunyai kepakaran dilihat boleh melakukan pemantauan berterusan dan dalam mengurangkan kos dan tidak perlu lantik konsultan lain menguruskan jalan,” katanya.


Pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood, Azlan Sani Zawawi pula memberitahu, selain memastikan kualiti pembinaan jalan, antara perkara lain yang boleh disemak ialah kerenah birokrasi dalam penyaluran peruntukan kerana ia melibatkan pelbagai peringkat dalam pemberian kontrak.


Isu jalan berlubang tiada kesudahan lagi, semoga isu tersebut dapat diberi perhatian segera demi kepentingan rakyat. Yang penting kaedah pengurusan perlu diubah dan masalah birokrasi perlu diatasi.


Jangan jadikan jalan sebagai lubuk wang, tetapi rakyat pula bertaruh nyawa.


Sumber: Kosmo!

6 views

Comments


bottom of page