top of page

Negeri berdepan risiko banjir besar diberi keutamaan projek tebatan banjir - Nik Nazmi


Negeri berdepan risiko banjir besar diberi keutamaan projek tebatan banjir - Nik Nazmi
Gambar hiasan: Projek tebatan banjir

Negeri berdepan risiko banjir besar diberi keutamaan projek tebatan banjir - Nik Nazmi

SEREMBAN: Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) akan melaksanakan projek menangani isu banjir mengikut keutamaan dan risiko kepada rakyat.


Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata pelaksanaan setiap projek menangani banjir tidak mengambil kira dari segi kedudukan negeri sebaliknya mengambil kira risiko kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat serta pemusnahan harta benda.


"Mana-mana negeri yang kita lihat mempunyai risiko atau berdepan dengan kes-kes banjir yang besar itu menjadi keutamaan kita (kementerian).


"Kita tidak mendiskriminasi negeri tertentu tetapi ia mengikut keperluan dan kepentingan menyelesaikan kes tersebut yang membabitkan kepentingan orang ramai serta perlu diselesaikan secepat mungkin selepas penilaian dibuat agensi berkaitan.


"Ada pelbagai projek berkeutamaan tinggi ini di seluruh negara dan memang kita telah kenal pasti kawasan 'panas' atau yang terdedah kepada banjir serta memerlukan tindakan segera," katanya.


Beliau ditemui media selepas melawat kerja-kerja memulihkan dan menaik taraf Sungai Simin sepanjang 55 meter di Taman Delima dan Taman Anggerik Rantau yang membabitkan kos RM730,600, di sini, hari ini.


Pada pembentangan Belanjawan Madani 2024 Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan terdapat 33 projek tebatan banjir berkeutamaan tinggi akan dilaksana di seluruh negara membabitkan kos RM11.8 bilion.


Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata, kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM750 juta bagi melaksanakan beberapa projek berkeutamaan tinggi dalam usaha menyelesaikan isu banjir di Negeri Sembilan.


Beliau berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM200 juta disediakan bagi melaksanakan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang membabitkan lima lokasi.


"Kita (NRECC) sediakan sebanyak RM200 juta bagi melaksanakan lima projek RTB di Negeri Sembilan.


"Selain itu, kita juga ada projek berkeutamaan tinggi yang mana kita percepatkan proses perolehan untuk selesaikan


isu banjir di Negeri Sembilan membabitkan tiga projek dengan jumlah peruntukan sebanyak RM550 juta.


"Memang kita sedang berusaha sebaik mungkin untuk melaksanakan kesemua projek berkeutamaan tinggi serta projek-projek pembinaan dan penyelenggaraan yang sedikit kecil dan relatif dalam mengatasi isu banjir ini," katanya.


Menurut Nik Nazmi, kesemua projek berkenaan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2026.


Katanya, selain itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sembilan turut diberikan peruntukkan sejumlah RM5 juta untuk melaksanakan kerja-kerja kecemasan.


"Sebanyak 101 kerja-kerja kecemasan di luar jangka yang melibatkan pelbagai daerah akan dilaksanakan dan daripada jumlah itu, 42 kerja telah siap manakala 22 dalam pembinaan dan 37 lagi dalam proses perolehan.


"Dijangkakan seramai 120,000 penduduk seluruh Negeri Sembilan akan mendapat maafaat daripada pelaksanaan kerja-kerja kecemasan luar jangka ini.


"NRECC melalui JPS akan terus komited dalam memastikan masalah banjir di Negeri Sembilan ini dapat ditangani dan bersiapsiaga bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan keselamatan harta benda dapat dilindungi daripada bencana banjir," katanya.


Sumber: Berita Harian


Negeri berdepan risiko banjir besar diberi keutamaan projek tebatan banjir - Nik Nazmi


bottom of page