top of page

Naza Communications, Everest jalin kerjasama


Naza Communications, Everest jalin kerjasama Berita Harian www.bharian.com.my
Gambar hiasan: Naza Communications, Everest jalin kerjasama

KUALA LUMPUR: Naza Communications Sdn Bhd, syarikat perkhidmatan infrastruktur telekomunikasi menjalin kerjasama dengan Everest Infrastructure Partners ANZ Pty Ltd (Everest) untuk melabur dalam infrastruktur telekomunikasi tanpa wayar sedia ada di Malaysia.


Kedua-dua syarikat itu juga akan bekerjasama untuk membangunkan lagi dan menambah baik infrastruktur telekomunikasi seluruh negara.


Everest adalah syarikat berpangkalan di Australia yang memberi tumpuan kepada pemerolehan dan pembangunan menara komunikasi tanpa wayar, pajakan tanah menara, pajakan antena atas bumbung dan infrastruktur komunikasi tanpa wayar lain.


Dalam usahanya untuk bekerjasama dengan pemain telekomunikasi utama Malaysia, Everest telah mengenal pasti Naza Communications, anak syarikat milik penuh Kumpulan Naza sebagai rakan kongsi pilihan dengan mengambil kira pengalaman mendalam, peneraju sektor, pengalaman pasaran, sambungan industri dan kepakaran pengurusan TowerCo.


Kerjasama antara kedua syarikat itu termeterai di majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang sempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Everest Infrastructure Partners ANZ, Will Heapy, Presiden Everest Infrastructure Partners, Inc., Mike Mackey dan Ketua Pegawai Eksekutif Naza Communications, Darryll Sinnappa.


Dalam satu kenyataan, Heapy berkata, perkongsian dengan Naza Communications itu menandakan kerjasama pertama Everest di rantau Asia Tenggara dan pihaknya amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan peneraju pasaran yang mempunyai persamaan visi ke arah pelaburan infrastruktur tanpa wayar dan budaya korporat.


Beliau berkata, kedua-dua pihak akan bersama-sama mengenal pasti dan melabur dalam aset infrastruktur telekomunikasi tanpa wayar di lokasi strategik di seluruh negara.


"Everest berazam untuk memainkan peranan penting dalam meningkatkan infrastruktur telekomunikasi di seluruh Malaysia, dan perkongsian ini juga akan membolehkan Everest memaksimumkan pelaburan dengan memanfaatkan kepakaran dan pengalaman industri jangka panjang Naza Communications," katanya.


Sementara itu, Sinnappa pula berkata, Malaysia bersedia untuk pertumbuhan digital yang kukuh pada tahun-tahun akan datang.


Beliau berkata, Naza Communications sedang berusaha untuk merealisasi potensinya dan mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran dengan perkongsian pintar dan projek infrastruktur utama.


"Dengan menggabungkan model perniagaan dan pelaburan inovatif Everest dengan pengetahuan dan kepakaran industri tempatan kami, kami yakin perkongsian ini akan membolehkan kami memenuhi keperluan kepadatan dan infrastruktur rangkaian tanpa wayar Malaysia ketika negara meneruskan pelaksanaan 5G di seluruh negara," katanya.


Ditubuhkan pada 2013, Naza Communications, dulunya dikenali sebagai Premium Radius Sdn Bhd adalah syarikat infrastruktur telekomunikasi milik persendirian Naza Corporation Holdings Sdn Bhd di Malaysia.


Naza Communications berfungsi sebagai pakar teknologi maklumat dan perkhidmatan telekomunikasi dengan kapasiti untuk merancang, membina, menambah baik, menyokong dan mengurus infrastruktur berkaitan.


Kejayaan Naza Communications didasarkan pada premis asas untuk menyediakan kejuruteraan, reka bentuk dan penyelesaian terunggul.


Sumber: Berita Harian


7 views

Comments


bottom of page