Nafas baru Pulau Bayas



KERAJAAN Terengganu memberi komitmen meneruskan semua 15 projek pembangunan di Tasik Kenyir termasuk pusat bebas cukai Pulau Bayas yang terbengkalai sejak dua tahun lalu.


Bagaimanapun, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya perlu meneliti pilihan dan cadangan daripada Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Unit Perancang Ekomoni Negeri Terengganu (Upen) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) terlebih dahulu.


Katanya, selepas itu perancangan dibuat sebelum keputusan menerusi mesyuarat kerajaan negeri.

“Saya beri tempoh sebulan kepada Upen untuk mengemukakan perancangan sebelum ahli mesyuarat kerajaan negeri membuat keputusan.


“Sekiranya membabitkan komitmen tertentu daripada kerajaan negeri seperti kewangan, kita cari jalan kerana objektifnya demi memastikan projek ini diteruskan dan bukan menjadi gajah putih,” katanya selepas lawatan kerja ke Tasik Kenyir di sini, semalam.

Dr Ahmad Samsuri berkata, secara keseluruhannya, lebih 50 peratus projek pembangunan di Tasik Kenyir siap, namun memerlukan tambahan RM60 hingga RM70 juta untuk siap sepenuhnya.


“Bukan persoalan mengenai kos, tetapi keupayaan kontraktor juga perlu diambil kira. Perkara ini dilihat secara menyeluruh supaya kita dapat menyelesaikan masalah di Tasik Kenyir.


“Setakat ini projek pembangunan di Pulau Poh berjalan baik dan dijangka siap pada Ogos, manakala projek Pulau Bayas dijangka siap dalam tempoh antara setahun setengah sehingga dua tahun,” katanya.


Menurutnya, pengunjung ke Tasik Kenyir dijangka bertambah sehingga sejuta pelawat setahun jika semua projek pembangunan itu siap berbanding sekitar 700,000 setahun ketika ini.

Media sebelum ini melaporkan pembangunan projek pusat bebas cukai di Pulau Bayas, Tasik Kenyir yang dibangunkan sejak 2012 dengan kos RM118 juta terhenti dua tahun lalu walaupun mencapai 70 peratus siap.


Projek dimulakan kerajaan negeri di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN) itu dijadualkan siap pada 2016, membabitkan pembangunan terminal utama jeti penumpang, jeti servis, kompleks beli-belah Kenyir Trade Centre, laluan pendaratan bot, hentian rehat, stesen buggy dan wakaf.


Sumber: Harian Metro


#evolusibina #Terengganu

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.