MyHSR Corp lantik semula Mohd Nur Ismal sebagai CEO


Gambar fail: Datuk Mohd Nur Ismal Kamal. - Foto: NSTP/Asyraf Hamzah

KUALA LUMPUR: MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp) melantik Datuk Mohd Nur Ismal Kamal sebagai Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO) buat kali kedua berkuat kuasa hari ini.


Mohd Nur Ismal sebelum ini pernah menjawat jawatan sama dari 2015 hingga kontraknya tamat pada penghujung 2019 sebelum dilantik sebagai CEO Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).


Beliau mempunyai pengalaman luas dan terbabit dalam industri pengangkutan awam sejak 2008, serta memainkan peranan penting dalam pelancaran empat laluan Go-KL City Bus, Bas Rapid Transit (BRT) dan pembangunan Pelan Induk Pengangkutan Awam Darat Nasional (LPT) yang membantu menetapkan hala tuju industri pengangkutan awam di Malaysia.


Selain itu, beliau pernah mengetuai projek pembangunan MRT termasuk kejayaan melancarkan laluan MRT pertama di Malaysia.


Mohd Nur Ismal berkata, beliau teruja dan berbesar hati diberi kepercayaan sekali lagi untuk memimpin MyHSR Corp.


"Saya berharap dapat membina kejayaan ini dan pada masa yang sama memastikan syarikat tetap fokus mewujudkan impak positif kepada ekonomi, rakyat dan negara," katanya.


Menerusi perlantikannya itu, Mohd Nur Ismal akan bertanggungjawab, antara lain, untuk mengawasi dan melaksanakan projek Kereta api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR KL-SG) dalam jangka waktu dan kos yang ditetapkan.


Kerajaan sebelum ini mengumumkan akan meneruskan perbincangan mengenai projek HSR KL-SG dengan kerajaan Singapura berikutan keputusannya untuk menyambung semula projek tersebut baru-baru ini.


Projek HSR KL-SG ditangguhkan pada 2018 oleh kerajaan ketika itu bagi semakan semula kos pembinaan projek tersebut.


Unit Perancang Ekonomi (EPU), di bawah Jabatan Perdana Menteri dan MyHSR Corp ditugaskan untuk mengenal pasti langkah pengurangan kos sambil mengekalkan faedah sosio-ekonomi yang akan dijana oleh projek HSR KL-SG.


HSR KL-SG dijangka beroperasi pada 2031 dan akan menjadikan waktu perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura bawah 90 minit. Sumber: Berita Harian


#evolusibina #HSR

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.