top of page

MyCC pantau industri simen walaupun harga tidak naik


Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail. - Foto Aswadi Alias

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) akan memantau industri simen berikutan cadangan kenaikan harga bahan industri itu bagi mengesan sebarang perlakuan anti persaingan.


Ketua Pegawai Eksekutifnya, Iskandar Ismail, berkata langkah itu bagi menyokong inisiatif kerajaan untuk terus melindungi hak pengguna.


Katanya, pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk memberikan input dan akan menilai perkara berkenaan mengikut peruntukan Akta Persaingan 2010 jika perlu.


“Selain mengambil maklum terhadap notis kenaikan harga yang dikeluarkan oleh beberapa syarikat simen dan konkrit campuran siap, MyCC turut mengambil kira kesan penggabungan antara YTL dan Lafarge baru-baru ini yang menyebabkan penumpuan pasaran di tahap huluan dan hiliran.


“Seksyen 4 dan Seksyen 10 Akta Persaingan dengan jelas melarang perusahaan daripada membuat perjanjian anti persaingan dan menyalahgunakan kedudukan dominan mereka di pasaran. MyCC akan terus dengan inisiatifnya untuk menggalakkan dan melindungi proses persaingan.


“Orang ramai juga digesa membuat aduan kepada MyCC, yang boleh dihantar ke alamat e-mel complaints@mycc.gov.my sekiranya mereka mengesan sebarang perlakuan anti persaingan dalam industri simen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Hari ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pengeluar simen di negara ini bersetuju untuk mengekalkan harga bahan binaan berkenaan selepas mengadakan pertemuan dengan pihak kementeriannya semalam.


“Dalam perbincangan itu, pihak kementerian menjelaskan kepada semua penggiat industri simen yang hadir bahawa mereka perlu memaklumkan dan mohon kepada KPDNHEP terlebih dulu jika mahu menaikkan harga simen kerana ia termasuk dalam barangan kawalan,” katanya.


Sementara itu, pelbagai pihak berkaitan industri pembinaan menyambut baik keputusan itu dan berterima kasih kepada kerajaan yang cepat menyelesaikan isu berkaitan harga bahan binaan terbabit.


Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia, Datuk Mokhtar Samad, berkata keputusan itu melegakan kontraktor di negara ini yang mungkin mengalami masalah kewangan jika harga simen naik.


“Kami bersyukur dan gembira, ini membuktikan kerajaan bukan hanya prihatin kepada nasib industri pembinaan tetapi juga hak pengguna yang mungkin terkesan dengan kenaikan harga simen ini.


“Tindakan pantas kementerian ini patut dipuji kerana ia berjaya menyekatnya sebelum kenaikan harga berlaku dan kita harap lebih banyak perjumpaan kementerian dengan pemain industri diadakan selepas ini,” katanya.


Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Soam Heng Choon, berkata beliau berterima kasih kepada kerajaan yang mengambil tindakan pantas menyelesaikan isu kenaikan harga bahan binaan itu tanpa polemik yang panjang.


“Kita mengucapkan terima kasih kepada semua kementerian yang terbabit kerana perkara ini dapat diuruskan dengan baik tanpa banyak kerenah dan pertikaian,” katanya.



16 views
bottom of page