KUALA LUMPUR: Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) menerima lebih 40 penyertaan daripada peserta utama industri pembinaan di negara ini menerusi proses Permintaan Maklumat (RFI).
Ia bagi membolehkan pihaknya mengukur minat, kapasiti dan kemampuan peserta utama tempatan dalam pembinaan projek Laluan Lingkaran Aliran Transit Massa 3 (MRT3).
Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim, berkata proses RFI yang berakhir pada 25 Mei lalu itu akan membantu MRT Corp mewujudkan struktur terbaik bagi projek berkenaan.
"Kami telah berhubung dengan peserta yang terbabit dalam proses RFI dan memberi maklum balas mengenai maklumat yang diberikan," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Mohd Zarif berkata, MRT Corp masih membuat penilaian kebaikan skim Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) bagi projek itu.
"Oleh itu, MRT Corp perlu meminda garis masa untuk proses tender pakej pertama projek. MRT Corp akan mengumumkan tarikh baru untuk tender berkenaan pada masa akan datang," katanya.
Terdahulu, MRT Corp mengumumkan tender berkaitan yang dijadual dibuka untuk bidaan pada Ogos ini.
Sumber: Berita Harian
Comentários