top of page

MRT laluan Putrajaya mampu bawa 1,200 penumpang satu masa


Transit Aliran Massa (MRT) laluan Putrajaya
Gambar hiasan: Perjalanan keseluruhan dari Stesen Kwasa Damansara hingga ke Putrajaya Sentral mengambil tempoh selama 84 minit.

Transit Aliran Massa (MRT) laluan Putrajaya

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) laluan Putrajaya mampu membawa 1,200 penumpang pada satu-satu masa, sekali gus dapat menarik lebih ramai pengguna pengangkutan awam menggunakan perkhidmatan itu.


Setakat ini, bilangan tren yang boleh digunakan oleh penumpang membabitkan 49 unit dengan setiap tren dilengkapi dengan empat gerabak.


Perkhidmatan MRT laluan Putrajaya Fasa Dua (MRT2) mula beroperasi sepenuhnya pada jam 3 petang esok.


Ketua Pegawai Operasi Laluan MRT Rapid Rail, Mohd Ramli Shafie, berkata waktu operasi MRT2 akan bermula pada jam 6 pagi dan tamat jam 12 tengah malam.


"Perjalanan keseluruhan dari Stesen Kwasa Damansara hingga ke Putrajaya Sentral mengambil tempoh selama 84 minit.


"Kekerapan tren pada hari Isnin hingga Jumaat adalah selama empat sehingga enam minit pada waktu puncak dan tujuh hingga 10 minit pada waktu bukan puncak," katanya ketika Tinjauan dan Taklimat Pra Pelancaran bersama pengamal media di Stesen MRT Chan Sow Lin, di sini, hari ini.


Kekerapan tren pada hujung minggu dan cuti umum pula adalah selama tujuh hingga 10 minit.


Tinjauan mendapati, persiapan giat dijalankan pegawai MRT Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) bagi memastikan pengoperasian berjalan lancar.


Pengamal media dibawa menaiki MRT laluan Putrajaya bermula dari Stesen Putrajaya Sentral ke Stesen Chan Sow Lin untuk merasai sendiri perkhidmatan berkenaan.


Yang turut hadir, Pengarah Pembinaan Bertingkat MRT Corp, Noor Saidi Musa dan Pengarah Komunikasi Strategik dan Perhubungan Pihak Berkepentingan, Aina Abdullah.


Sementara itu, Mohd Ramli berkata, kaunter di Stesen MRT2 juga dapat memudahkan urusan golongan orang kurang upaya (OKU).


"Kaunter dibina adalah pada paras yang rendah bagi memudahkan pengguna yang menggunakan kerusi roda untuk berkomunikasi dengan petugas.


"Selain itu, OKU yang menggunakan alat bantuan pendengaran pula boleh menetapkan frekuensi alat mereka untuk boleh berhubung terus dengan petugas di kaunter," katanya.


Mengenai isu keselamatan, Mohd Ramli berkata, petugas MRT2 boleh mengendalikan tren secara manual melalui konsol pemanduan sekiranya terdapat masalah teknikal.


"Sebagai langkah keselamatan, tren MRT2 ini mempunyai empat unit kerusi roda kecemasan yang boleh digunakan sekiranya berlaku kemalangan," katanya.


Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dilaporkan berkata, jumlah penumpang harian bagi perkhidmatan MRT laluan Putrajaya dijangka mampu mencecah kira-kira 200,000 dalam tempoh dua tahun.


Keseluruhan laluan Putrajaya merangkumi 57.7 kilometer terdiri daripada 36 stesen bermula dari Kwasa Damansara ke Putrajaya meliputi kawasan berkepadatan tinggi seperti Bandar Sri Damansara, Kepong, Batu, Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Tun Razak, Persiaran KLCC, Kuchai Lama, Seri Kembangan, Cyberjaya dan Putrajaya.


Sumber: Berita Harian

7 views

Comentarios


bottom of page