top of page

MRCB raih pendapatan RM2.4 bilion, untung RM116.6 juta


MRCB raih pendapatan RM2.4 bilion, untung RM116.6 juta Berita Harian www.bharian.com.my
Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB)

KUALA LUMPUR: Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) merekodkan pendapatan RM2.4 bilion dan keuntungan sebelum cukai RM116.6 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2022.


Pendapatan dan keuntungan sebelum cukai yang diraih bagi tempoh dikaji adalah lebih tinggi berbanding RM590.3 juta dan kerugian sebelum cukai RM62.6 juta yang dicatatkan tempoh sama tahun lalu.


MRCB dalam satu kenyataan berkata, prestasi yang bertambah baik itu diperoleh terutama disebabkan operasi kumpulan kembali lebih normal selepas terjejas dengan gangguan berkaitan COVID-19 selama dua tahun, sekali gus menyaksikan pendapatan meningkat dan kembali meraih untung daripada kemajuan pembinaan serta lonjakan jualan bagi inventori yang telah siap dimajukan.


"Bahagian pembangunan & pelaburan hartanah mencatatkan peningkatan pendapatan 89 peratus kepada RM653.5 juta dan keuntungan operasi melonjak ketara 608 peratus kepada RM124.6 juta bagi tempoh sembilan bulan 2022.


"Ini disebabkan oleh keadaan operasi yang lebih baik berbanding tempoh yang sama pada 2021 yang terjejas oleh penutupan tapak pembinaan yang menghalang kemajuan pembinaan. Terdapat juga pertumbuhan yang menggalakkan dalam jualan hartanah dalam tempoh itu apabila ekonomi dibuka semula dan mula pulih.


"Penyumbang utamanya adalah daripada dua projek pembangunan hartanah terbesar iaitu Sentral Suites dan TRIA 9 Seputeh, yang mencapai kemajuan pembinaan lebih tinggi, masing-masing sebanyak 81 peratus dan 85 peratus," katanya.


Bahagian pembangunan & pelaburan hartanah juga telah menjual hartanah bernilai RM342.2 juta bagi tempoh sembilan bulan tahun ini dan masih memiliki jualan belum dibilkan sebanyak RM624.0 juta.


Bagi bahagian kejuruteraan, pembinaan & alam sekitar, ia merekodkan lonjakan pendapatan 711 peratus kepada RM1.7 bilion, disokong pembangunan projek LRT3 bernilai RM11.4 bilion yang telah mencapai kemajuan pembinaan sekitar 77 peratus dan kewangan 71 peratus setakat 30 September 2022.


Pendapatan juga disumbangkan daripada pembinaan Menara KWSP di Kwasa Damansara, Pakej CB2 DASH, Pakej V210 MRT2, Pakej CA2 SUKE dan projek PR1MA Brickfields.


Bahagian itu juga mencatatkan lonjakan keuntungan operasi 219 peratus kepada RM61.3 juta bagi sembilan bulan 2022 berbanding kerugian operasi berjumlah RM51.7 juta bagi tempoh sama tahun lalu.


Kontrak dalam tangan luaran jangka panjang bahagian terbabit berada pada RM26.7 bilion setakat 30 September 2022, sementara bahagian belum dibil berjumlah RM17.9 bilion.


Kumpulan juga memiliki projek dalam perancangan sihat termasuk enam fasa pembinaan taman logistik bersepadu berkeluasan 328.03 hektar di Perak; termasuk beberapa projek di Gold Coast, Australia (GDV: AUD296 juta atau RM893.18 juta), yang dijangka dilancarkan pada awal tahun hadapan; projek di New Zealand (GDV: NZD452 juta atau RM1.26 bilion), yang akan memulakan pembangunan pada 2024.


MRCB juga mempunyai tender pembinaan bernilai RM30 bilion setakat 30 September 2022.


Sumber: Berita Harian


5 views

Comments


bottom of page