top of page

Monorel Putrajaya: KWP buka permohonan cadangan projek


Putrajaya memerlukan perkhidmatan pengangkutan baik dan moden, selaras statusnya sebagai pusat pentadbiran negara - Foto hiasan

PUTRAJAYA: Kementerian Wilayah Persekutuan akan membuka Permohonan Cadangan Projek (RFP) untuk pembangunan monorel Putrajaya dalam tempoh selewat-lewatnya tiga bulan lagi.


Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, ia bagi membolehkan projek itu yang sekian lama ditangguhkan, diteruskan kembali dengan kerjasama pihak swasta.


Beliau berkata, ketika ini beberapa infrastruktur sudah siap dibina termasuk terowong dan jambatan, malah beberapa syarikat swasta sudah pun menyatakan minat terhadap projek berkenaan.


"Susulan perbincangan dalam Jemaah Menteri, Kementerian Wilayah Persekutuan diminta bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan yang mana satu mesyuarat bersama diadakan kira-kira dua minggu lalu.


"Kita mengambil ketetapan dan persetujuan supaya Kementerian Wilayah Persekutuan mengambil tindakan susulan bagi mendapatkan cadangan swasta dan mengkaji kemungkinan projek ini dapat diteruskan secara kerjasama kerajaan dan swasta.


"Biasanya RFP memerlukan masa untuk menyiapkan dokumen. Saya menjangkakan dalam masa tiga bulan atau kurang ia akan dibuka kepada penyertaan," katanya ketika sidang media, di sini, hari ini.


Annuar berkata, pihaknya berpendapat Putrajaya memerlukan perkhidmatan pengangkutan yang baik dan moden, selaras statusnya sebagai pusat pentadbiran negara.


Justeru, pihaknya bersetuju membuka permohonan cadangan daripada pihak yang menyatakan hasrat mereka bagi membolehkan projek monorel itu diteruskan.


Ditanya mengenai kos, katanya ia terpulang kertas cadangan syarikat terbabit yang dijangka mengesyorkan teknologi tren berbeza-beza, namun kementerian tidak meletakkan sebarang had untuk kos dicadangkan.


Beliau berkata, trek dan jajaran monorel itu juga sudah ditetapkan, manakala cadangan sembilan stesen di Putrajaya bergantung cadangan syarikat itu nanti.


Pada masa sama, Annuar berkata, rangkaian menghubungkan Cyberjaya, Bangi dan Kajang di bawah tanggungjawab Kementerian Pengangkutan.


Media sebelum ini melaporkan, projek monorel Putrajaya yang sebelum ini ditangguhkan akan diteruskan dan dijangka siap pada 2025.


Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, Khalid Abdul Samad, mengesahkan kerajaan akan meneruskan pembinaan laluan monorel yang sebelum ini ditangguhkan pada pertengahan 2004 tetapi diterajui Kementerian Pengangkutan dan bukan Perbadanan Putrajaya (PPj) sepenuhnya.



129 views
bottom of page