SIMUNJAN: Pelaksanaan projek penahan hakisan Tebingan Sungai Simunjan yang disenaraikan dalam Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA) akan dapat menangani isu hakisan tebingan sungai.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Dr. Hazland Abang Hipni berkata, projek penahan hakisan sepanjang 525 meter yang bernilai lebih RM74 juta itu merupakan antara lima projek yang dimohon Adun Simunjan, Awla Dris.
Menurutnya, empat lagi projek yang dimohon ialah cadangan kerja penahan hakisan tebingan sungai di Sungai Kampung Sageng (Fasa Dua) sepanjang 500 meter anggaran jumlah sebanyak RM20 juta.
“Seterusnya, cadangan kerja penahan hakisan tebingan sungai di Sungai Kampung Sageng (Fasa Tiga) sepanjang 700 meter dengan anggaran kos RM200 juta.
“Selanjutnya pula cadangan kerja penahan hakisan tebingan sungai di Sungai Kampung Tabuan sepanjang 500 meter dengan anggaran kos RM20 juta sepanjang 1,300 meter dengan anggaran kos RM252 juta lebih dan satu lagi projek di Kampung Pantong juga akan disenaraikan di bawah IRSDA,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.
Dr Hazland telah mengadakan lawatan kerja ke Simunjan bagi meninjau keadaan beberapa buah kampung dan lokasi yang mengalami risiko hakisan di Sungai Simunjan.
Lawatan ini juga diadakan bersempena Program Jelajah Alam Sekitar di kawasan Dun Simunjan dengan ia merupakan program mingguan Dr. Hazland untuk menjelajah ke segenap kawasan di Sarawak bagi menyelesaikan beberapa isu yang berkaitan alam sekitar Antara kawasan yang dilawat adalah Kampung Sageng Ulu, Kampung Sageng Sabal, Kampung Sageng Hilir, Kampung Tabuan, tapak Projek Penahan Hakisan Tebingan Sungai Simunjan dan lawatan diakhiri di Kampung Pantong.
Beliau juga melihat keadaan beberapa buah rumah penduduk Kampung Sageng yang semakin hampir dengan sungai.
Sumber: Sarawak Voice
Comentários