top of page

Minetech raih projek jalan raya RM2.56 juta


Kerja-kerja pembinaan jalan dan saliran
Gambar hiasan: Kerja-kerja pembinaan jalan dan saliran

KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Minetech Resources Bhd, Minetech Construction Sdn Bhd (Minetech Construction), telah dianugerahkan projek kerja jalan dan saliran bernilai RM2.56 juta oleh Aspect Synergy Sdn Bhd (Aspect).


Aspect adalah anak syarikat milik penuh OSK Property Holdings Bhd, pemaju hartanah dengan projek di seluruh Semenanjung Malaysia.


Minetech Construction adalah perniagaan kejuruteraan awam dan pembinaan Minetech yang mengkhusus dalam kerja-kerja infrastruktur dan pembinaan bangunan.


Projek yang akan bermula pada 9 Mei 2023 ini mempunyai tempoh selama empat bulan. Projek itu adalah sebahagian daripada Fasa 3 Taman Iringan Bayu yang terletak di Seremban, Negeri Sembilan.


Pengarah Eksekutif Minetech, Matt Chin berkata, penganugerahan projek ini kepada Minetech Construction menambah sokongan yang dibawa oleh bahagian kejuruteraan awam kepada seluruh Minetech kerana projek ini juga akan menggunakan aset di bawah bahagian produk bitumen, yang merupakan penyumbang utama lain kepada pendapatan.


"Kami kekal optimistik secara berhati-hati terhadap prospek dan akan terus mencari projek yang boleh menggunakan aset bahagian penyumbang utama kami dan pada masa yang sama memberi tumpuan kepada membina usaha baharu kami dalam teknologi kewangan dan tenaga boleh diperbaharui yang mempunyai pertumbuhan jangka panjang dan boleh memberikan pendapatan berulang," katanya di sini hari ini.


Sumber: Berita Harian

bottom of page