top of page

MIDF jangka 2023 tahun lebih baik bagi kontraktor


MIDF Research jangkakan sektor pembinaan lebih baik pada tahun ini.

MIDF Research terus kekal yakin dengan sektor pembinaan susulan pengumuman dana tambahan oleh kerajaan persekutuan kepada Pulau Pinang untuk melaksanakan projek transit aliran ringan (LRT).


Bagaimanapun, ia berkata, masih banyak yang perlu diperjelaskan kerana Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membincangkan perkara tersebut dalam tempoh dua minggu akan datang dengan kerajaan negeri.

Firma penyelidikan itu berkata, kerajaan persekutuan bersetuju agar laluan pertama LRT Pulau Pinang bermula dari Bayan Lepas ke Komtar dengan pelaksanaan dan perkara lain akan diperincikan kemudian.

"Memandangkan kerajaan persekutuan (membiayai) LRT Pulau Pinang, kerajaan negeri sedang menimbang untuk mengurangkan projek Pulau Pinang Selatan (PSI) atau menangguhkannya.


"Berdasarkan perkembangan baharu ini, ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan antara kerajaan persekutuan dan negeri, dan juga rakan kongsi pelaksana projeknya SRS Consortium Sdn Bhd, yang 60 peratus dipegang oleh Gamuda dan baki 40 peratus oleh Loh Phoy Yen Holdings Sdn Bhd dan Ideal Property Development Sdn Bhd," katanya dalam satu nota penyelidikan.


MIDF berkata, pandangan positifnya terhadap sektor itu juga disokong oleh peruntukan RM1.2 bilion untuk pembangunan sosioekonomi di Negeri Sembilan dan perbincangan dengan rakan kongsi berpotensi mengenai kebolehlaksanaan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) bernilai RM60 bilion oleh firma Malaysia.


Peruntukan RM1.2 bilion itu termasuk RM600 juta untuk pembinaan susur keluar dari cadangan tol baharu ke Jalan Lingkaran Tengah Seremban, RM280 juta untuk pembinaan kemudahan Kementerian Pendidikan, dan RM160 juta untuk pembinaan jalan dan jambatan menghubungkan Bukit Pelandok dan Sungai Pelek.


Firma penyelidikan itu berkata, aliran baharu dalam pekerjaan infrastruktur asas dan projek infrastruktur mega sudah pastinya akan mengujakan sektor pembinaan yang agak kurang aktif sejak beberapa tahun lalu.


"Kami menjangkakan 2023 menjadi tahun yang lebih baik kepada kontraktor, terutamanya dengan rangsangan daripada Bajet 2023, dengan pelbagai kerja infrastruktur dan kemudahan awam yang akan diterjemahkan kepada aliran kerja yang lebih kukuh tahun ini.


"Kami masih berpendapat bahawa kemuncak tahun ini ialah pelancaran Transit Aliran Berkapasiti Tinggi 3 (MRT3), yang ditangguhkan sejak Disember 2022 berikutan kajian semula oleh kerajaan untuk menurunkan kos daripada RM50 bilion kepada RM45 bilion," katanya.


Sumber: Sinar Harian


9 views

ความคิดเห็น


bottom of page