top of page

MHB catat kerugian lebih besar RM105.21 juta


MHB catat kerugian lebih besar RM105.21 juta
Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd (MHB)

MHB catat kerugian lebih besar RM105.21 juta

KUALA LUMPUR: Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd (MHB) mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM105.21 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2023 daripada keuntungan bersih RM15.95 juta yang direkodkan pada suku yang sama 2022.


Perolehan meningkat kepada RM638.47 juta daripada RM409.23 juta bagi tempoh yang sama.


Bagi sembilan bulan tahun ini, syarikat itu meraih perolehan RM2.2 bilion dengan kerugian bersih RM490.37 juta.


Dalam kenyataan pada Rabu, MHB menjelaskan segmen kejuruteraan berat melaporkan perolehan lebih tinggi iaitu sebanyak RM2.0 bilion dalam tempoh sembilan bulan tahun ini berbanding RM988.4 juta bagi tempoh sama 2022, terutama didorong perolehan lebih tinggi daripada projek baharu dan yang sedang dilaksanakan.


Syarikat itu memaklumkan walau bagaimanapun, segmen itu merekodkan kerugian operasi sebanyak RM506.5 juta, terutama disebabkan oleh peruntukan kos tambahan akibat daripada semakan jadual dan kesan kenaikan harga terhadap projek yang sedang dijalankan dalam tempoh semasa.


"Semakan jadual menyebabkan tarikh penyerahan dilanjutkan bagi projek sedang dijalankan, kerana tempoh diperlukan untuk melaksanakan kerja-kerja dalam pesisir yang tertunda," tambahnya.


MHB menambah, segmen marin mencatatkan perolehan lebih rendah iaitu RM225.7 juta bagi sembilan bulan 2023 berbanding RM239.3 juta bagi tempoh sama 2022, berikutan bilangan kapal yang diperoleh adalah rendah.


Bagi tempoh sembilan bulan, segmen marin menyelesaikan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan pada 48 kapal pelbagai kategori, termasuk sembilan kapal pengangkut gas asli cecair.


"Jumlah aset dan ekuiti syarikat pada akhir tempoh yang dinilai adalah RM3.4 bilion dan RM1.2 bilion," menurutnya.


Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Pandai Othman, berkata konflik Asia Barat baru-baru ini serta komitmen berterusan Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum dan pakatannya (OPEC+) terhadap pengurangan bekalan boleh mengehadkan lagi bekalan minyak global.


Beliau berkata, keadaan itu mengakibatkan harga minyak menjadi lebih tinggi dalam keadaan permintaan global yang semakin meningkat.


"Ini berkemungkinan meningkatkan perbelanjaan modal melebihi tahap sebelum pandemik. Selain itu, peningkatan kepentingan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) akan mewujudkan pelbagai peluang perniagaan untuk kami dalam ruang tenaga boleh baharu," katanya.


Beliau berkata, mengenai pelaksanaan projek pula, segmen kejuruteraan berat terus menghadapi cabaran dalam melaksanakan beberapa projek yang sedang dijalankan dalam lingkungan margin anggaran asal ekoran kesan kenaikan harga bahan mentah dan gangguan rantaian bekalan global.


Sumber: Berita Harian


MHB catat kerugian lebih besar RM105.21 juta


bottom of page