top of page

Mencegah penyakit rasuah agar tidak menjadi barah


Mencegah penyakit rasuah agar tidak menjadi barah Malaysia Gazette www.malaysiagazette.com
Gambar hiasan: Mencegah penyakit rasuah agar tidak menjadi barah

Mencegah lebih baik daripada merawat. Satu ayat sering digunakan apabila kita ingin membasmi sesuatu keburukan daripada berlaku kepada individu, bangsa atau negara.


Bercakap soal mencegah ini, ianya sama halnya jika ingin membasmi penyakit rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa yang boleh kita anggap sudah membarah hingga menyebabkan ketirisan wang kerajaan mencecah bukan lagi jutaan tetapi berbilion ringgit.


Saudara pengarang, sebagai rakyat, isu rasuah ini menarik minat saya dan mungkin kepada majoriti rakyat di negara ini kerana hampir saban hari kita dihidangkan dengan tangkapan kes-kes rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di media massa membabitkan perolehan kerajaan.


Namun, usaha penguatkuasaan ini seperti tidak mampu memberi kesedaran mahupun pengajaran seolah-olah mereka-mereka ini tidak peduli atau tidak takut hukuman yang menanti.


Terbaru, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa semua perolehan kerajaan dalam pentadbirannya perlu dilaksanakan menerusi proses tender dan tiada lagi kelulusan diberikan secara terus.


Justeru, tindakan Perdana Menteri ini bagi saya amatlah tepat kerana ia adalah satu langkah awal mencegah berlakunya rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa khususnya dalam perolehan kerajaan.


Usaha mencegah ini perlu dibuat serta dilaksanakan dan dalam masa yang sama diperkasakan dengan langkah-langkah ‘rawatan’ menerusi penguatkusaan undang-undang oleh pihak berkuasa seperti SPRM.


Menerusi tindakan ini, projek-projek yang menggunakan perolehan kerajaan akan menjadi lebih telus dan terbuka serta dalam masa yang sama, hasil atau mutu perkhidmatan diperoleh oleh kerajaan bagi setiap wang yang dibelanjakan adalah berkualiti dan setara atau setimpal dengan nilainya.


Ini kerana saya percaya, punca projek-projek pembangunan sebelum ini yang tidak berkualiti, terbengkalai atau tidak mengikut spesifikasi dikehendaki disebabkan pemberian terus projek kepada pihak yang tidak berkelayakan atau yang berpakat dalam mengaut keuntungan menerusi kelonggaran perolehan secara terus.


Namun, selain usaha mencegah ini, saya juga berharap agar undang-undang sedia ada terus diperkasa serta ditambah baik agar pelaku-pelaku rasuah ini dapat diheret ke muka pengadilan dan menerima hukuman yang lebih keras.


Zuraini Al-Bukhari, Wangsa Maju, Kuala Lumpur



2 views

コメント


bottom of page