top of page

MARA lancar program usahawan tenaga solar Bumiputera, ProSOLAR


Program Pembangunan Usahawan Teknikal (ProTECH)
Gambar hiasan: ...inisiatif menerusi Program Pembangunan Usahawan Teknikal (ProTECH) yang mendapat peruntukan khas daripada Unit Perancangan Ekonomi (EPU) untuk membangunkan usahawan teknikal, terutama dalam bidang berteknologi tinggi.

Program Pembangunan Usahawan Teknikal (ProTECH)

KUALA LUMPUR: MARA hari ini melancarkan program pembangunan usahawan dalam industri tenaga boleh diperbaharui solar (ProSOLAR), dalam majlis rasmi pertama dihadiri pengerusinya yang baharu, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.


Program itu adalah antara inisiatif menerusi Program Pembangunan Usahawan Teknikal (ProTECH) yang mendapat peruntukan khas daripada Unit Perancangan Ekonomi (EPU) untuk membangunkan usahawan teknikal, terutama dalam bidang berteknologi tinggi.


Menurut MARA, program itu menyasarkan penyertaan usahawan daripada lima negeri iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka.


"MARA akan melaksanakan program yang sama di negeri-negeri lain pada fasa seterusnya untuk melahirkan usahawan solar di seluruh negeri.


"Peserta terdiri daripada usahawan Bumiputera berumur di antara 21 hingga 45 tahun dan mempunyai persijilan sama ada Pendawaian dan Jentera Elektrik PW2 atau Penjaga Jentera (AO) dan ke atas," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Terdahulu, majlis pelancaran di Putrajaya itu turut dihadiri 100 usahawan teknikal terpilih untuk diberikan pendedahan terhadap industri tenaga solar, selain perkongsian pengalaman dalam kalangan pemain industri dan agensi kerajaan berkepentingan.


Sementara itu, Asyraf Wajdi memaklumkan, ProSOLAR adalah program pembangunan usahawan secara berstruktur yang memberi pendedahan kepada potensi industri, latihan dan bimbingan daripada pemain industri untuk mempercepatkan kejayaan usahawan dalam bidang berkenaan.


Katanya, antara pemain industri yang menjadi rakan strategik bagi industri itu adalah Gading Kencana Sdn Bhd dan GSPARX Sdn Bhd.


Dalam pada itu, MARA turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam majlis berkenaan, dan turut menjalin kerjasama dengan GSPARX Sdn Bhd bagi pemasangan panel solar di bangunan institusi pendidikan MARA.


Menurut MARA, pemasangan itu akan dilaksanakan oleh usahawan ProSOLAR, dengan MARA menyasarkan nilai projek yang tersedia untuk peserta ProSOLAR bernilai lebih RM300 juta.


"Peserta terpilih akan ditempatkan di Gading Kencana Sdn Bhd untuk menjalani latihan praktikal pemasangan panel solar di projek yang ditentukan oleh pihak Gading Kencana Sdn Bhd kelak.


"Melalui program ini juga, MARA akan melahirkan lebih ramai usahawan Registered Photovoltaic Servcies Provider (RPVSP) yang tersedia dengan pentauliahan daripada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA), pengetahuan tentang pemasangan solar, alatan kelengkapan dan pembiayaan yang disediakan MARA untuk mereka yang terbabit dalam pemasangan solar bagi sektor industri, kerajaan dan rumah kediaman," katanya.


Sumber: Berita Harian


17 views

Comments


bottom of page