top of page

Mangsa diselamatkan selepas 5 hari terperangkap di bawah runtuhan bangunan


Mangsa diselamatkan selepas 5 hari terperangkap di bawah runtuhan bangunan
Seorang lelaki mengangkat tangannya ketika pekerja penyelamat membawanya ke ambulans selepas diselamatkan setelah terselamat 116 jam selepas terperangkap di bawah bangunan runtuh di George, Afrika Selatan. - Foto REUTERS

Mangsa diselamatkan selepas 5 hari terperangkap di bawah runtuhan bangunan

JOHANNESBURG: Penyelamat dan orang ramai bersorak serta bertepuk tangan pada Sabtu ketika seorang mangsa berjaya dibawa keluar selepas 116 jam terperangkap di bawah runtuhan bangunan di Afrika Selatan.


Tragedi itu mengorbankan sekurang-kurangnya 13 orang.


"Ia adalah satu keajaiban yang kita semua harapkan," kata Perdana Menteri Western Cape, Alan Winde, di X.


Sebuah blok pangsapuri yang sedang dalam pembinaan di bandar selatan George runtuh pada Isnin lalu, ketika 81 pekerjanya berada di lokasi.


Dalam video dikongsi pihak berkuasa tempatan, mangsa, Gabriel Guambe berkata: "Saya OK sekarang, semuanya baik-baik saja. Terima kasih, Tuhan memberkati kamu semua".


Pihak berkuasa tempatan dalam kenyataan pula memaklumkan Guambe sedang melalui fasa pemulihan dan hanya mengalami kecederaan ringan.


Pekerja binaan berusia 32 tahun itu ditemui anggota penyelamat yang mendengar jeritan dari bawah runtuhan, sebelum mangsa berjaya ditarik keluar beberapa jam selepas ditemui.


"Apabila kami turun ke bawah runtuhan, kami terdengar suara seseorang di dalam dan kami menghentikan semua operasi berat," kata ketua operasi menyelamat, Colin Deiner, kepada pemberita.


Tambah Deiner, pasukan penyelamat kemudian memanggil mangsa yang terselamat dan dia kembali memberi maklum balas.


"Dia memaklumkan berdepan masalah pada kakinya dan kami bimbang keadaannya selepas (berada dibawah runtuhan dalam) tempoh yang lama," katanya.


Pasukan penyelamat bertungkus lumus untuk mengeluarkan semua mangsa.


Seramai 29 mangsa berjaya diselamatkan manakala 39 mangsa lagi masih tidak dapat dikesan.


Winde berkata, proses pengecaman sedang dijalankan dan polis menggunakan cap jari, ujian DNA serta gambar.


Pelan pembinaan untuk blok apartmen 42 unit sudah diluluskan pihak perbandaran pada Julai. Punca runtuhan bagaimanapun masih tidak diketahui.



Mangsa diselamatkan selepas 5 hari terperangkap di bawah runtuhan bangunan

Comments


bottom of page