DALAT: Pelaksanaan Projek Bekalan Air Alternatif Sarawak (Sawas) dengan jumlah keseluruhan kos pembinaan sekitar RM11.8 juta untuk penduduk dari Kampung Klid, Kampung Narub dan kawasan Nanga Baoh di daerah Dalat cukup bermakna.
Di kawasan Nanga Baoh sahaja terdapat 10 buat rumah panjang melibatkan Rumah Balin, Rumah Duah, Rumah Tulu, Rumah Bala, Rumah Iman, Rumah Langit, Rumah Changai, Rumah Michael Chabo, Rumah Lawal dan Rumah Buan. Turut mendapat manfaat daripada projek yang telah beroperasi pada Disember 2020 itu ialah Sekolah Nanga Baoh dan Klinik Nanga Baoh.
Penghulu Ambau Anchong, 70, ketika ditemui Suara Sarawak di Nanga Baoh berkata, kini semua penduduk di sana termasuk pelajar sekolah dan kakitangan klinik telah mendapat bekalan air bersih hasil Sawas ini.
“Dalam tempoh dua tahun ini, hidup kami di sini semakin senang.
Dengan adanya projek air bersih Sawas ini, tekanan air juga cukup baik di setiap pintu rumah selama 24 jam setiap hari.
“Kami berharap agar projek ini terus membantu kami untuk jangka panjang. Saya ingin berterima kasih kepada wakil rakyat dan Premier Sarawak atas projek ini,” katanya sambil memberitahu sebelum ini mereka perlu menggunakan air hujan yang disimpan dalam tangki dan pada musim kemarau bekalan air berkenaan akan habis.
Bagi Tuai rumah Lawai Abun, 52, di kawasan Rumah Lawai di Nanga Baih pula berbeza pelaksanaannya kerana menggunakan loji untuk setiap satu rumah dan tidak berkongsi namun tetap menyalurkan bekalan air bersih untuk setiap penduduk yang ada.
“Dengan adanya Sawas ini, kehidupan kamu di sini sangat senang dan semua kerja dapat dilakukan.
Air bersih dari sungai dapat dipam terus, dirawat sehingga menjadi air bersih.
“Saya turut berharap Kerajaan Sarawak dapat terus mengkaji usaha dalam memastikan perkhidmatan air bersih ini dapat menyediakan kemudahan yang lebih baik di kawasan pedalaman seperti kami,” ujarnya.
Projek Sawas ini adalah bersifat komuniti dengan tanggungjawab untuk pengendalian dan penyelenggaraan terletak pada komuniti tersebut.
Namun, pihak JBALB akan sentiasa memantau keadaan loji tersebut dari semasa ke semasa.
Projek Sawas ini merupakan salah satu usaha Kerajaan Sarawak yang bermatlamat untuk menyalurkan bekalan air bersih ke kawasan terpencil dan kawasan yang belum menerima bekalan air bersih melalui sistem perpaipan.
Sumber: SarawakVoice
Comments