top of page

Malaysia, Singapura muktamad perbincangan projek RTS



KUALA LUMPUR - Kerajaan Malaysia dan Singapura telah memuktamadkan perbincangan mengenai Projek Sistem Rapid Transit (RTS) Johor Bahru-Singapura.


Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, majlis pemeteraian tiga perjanjian iaitu Perjanjian Bilateral, Perjanjian Konsesi dan Perjanjian Usahasama JV OpCo akan diadakan pada 30 Julai ini di Tambak Johor dan akan turut disaksikan Perdana Menteri kedua-dua negara.


Menurutnya, projek yang melibatkan kos sebanyak RM3.7 bilion itu dijangka beroperasi pada hujung tahun 2026.


"Ini adalah status terkini dan ini menunjukkan bahawa projek RTS telah pun mencapai satu tahap di mana kedua-dua negara sudah bersetuju untuk menandatangani perjanjian.


"Sudah pasti kelulusan berkenaan untuk memulakan kerja akan diperoleh dalam beberapa bulan ini dan jangkaan kita, ia akan dibahagikan kepada dua fasa.


"Pada awal Januari 2021 kita akan mulakan pembinaan struktur sivil pembinaan di mana pembinaan akan berlaku dalam tempoh 48 bulan atau 4 tahun disusuli fasa kedua iaitu pembinaan sistem seperti signalling, rolling stock telekomunikasi, pentauliahan dan pengujian sistem ini dalam tempoh dua tahun," katanya pada sidang media di Parlimen di sini hari ini.


Terdahulu, Ka Siong menjawab pertanyaan Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PH-Johor Bahru) di Dewan Rakyat yang bertanyakan status terkini rundingan antara Malaysia dan Singapura berkaitan projek RTS itu.


Projek RTS bakal menghubungkan Bukit Chagar, Johor ke stesen Woodlands North, Singapura dengan sasaran kapasiti mencecah 10,000 penumpang sejam.


Sumber: Sinar Harian


6 views
bottom of page