top of page

Malaysia perlu RM90 bilion biaya projek kritikal 10 tahun lagi


Malaysia perlu RM90 bilion biaya projek kritikal 10 tahun lagi
Tengku Hassanal berkenan menyaksikan pertukaran MoU diantara Muhamad Umar (tiga dari kiri) dan Pengarah Urusan The Palladium Group, Steven van Weede (tiga dari kanan) yang turut dihadiri oleh Nik Nazmi (dua dari kiri), Abdul Wahid (kiri) dan Terry (dua dari kanan) -NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Malaysia perlu RM90 bilion biaya projek kritikal 10 tahun lagi

KUALA LUMPUR: Malaysia memerlukan RM60 bilion sehingga RM90 bilion untuk membiayai projek kritikal dalam tempoh 10 tahun akan datang, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad.


Beliau berkata, anggaran keperluan perbelanjaan itu merangkumi usaha memperluaskan pengangkutan awam, mengukuhkan grid infrastruktur dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja.


Katanya, anggaran kos untuk pembangunan grid saja adalah begitu besar, mencecah RM180 bilion menjelang 2050, untuk menampung cita-cita tenaga bersih Malaysia.


"Tambahan pula, mengambil kira pelbagai peringkat penyahkarbonan pembangunan teknologi di seluruh negara, adalah jelas bahawa kemajuan sangat bergantung kepada sumber tenaga alternatif dan serantau yang kukuh serta kerjasama antarabangsa," katanya.


Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Bursa Malaysia dengan dengan Mobilising Institutional Capital Through Listed Product Structures MOBILIST di sini, hari ini.


Majlis disaksikan oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.


Yang turut hadir, Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Ailsa Terry; Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Wahid Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Umar Swift.


Kerjasama antara Bursa Malaysia dan MOBILIST bagi mengukuhkan agenda kemampanan negara itu akan membolehkan pelaburan yang lebih besar untuk menyokong peralihan tenaga dan memajukan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di Malaysia.


Nik Nazmi berkata, peralihan skala kewangan dalam tenaga di Malaysia ketika ini adalah sangat penting kerana dianggarkan sebanyak RM1.2 trilion (AS$260 bilion) diperlukan antara 2023 dan 2050 yang menonjolkan keperluan pelaburan yang lebih besar di seluruh rantau ASEAN.


Sementara itu, Abdul Wahid berkata tumpuan pengendali pasaran saham itu ketika ini adalah untuk memupuk ekonomi yang teguh dan mampan sejajar aspirasi sifar bersih negara dan SDG Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).


"Walaupun landskap pembiayaan ESG (tadbir urus, sosial dan alam sekitar) di Malaysia berkembang, ia belum mencukupi untuk menangani keperluan SDG dan komitmen mencapai sasaran iklim.


"Di Bursa Malaysia, kami mengulangi seruan ini untuk bertindak dan program MOBILIST adalah salah satu daripada langkah memacu penyelesaian ESG di Malaysia," katanya.


Abdul Wahid berkata, program MOBILIST, yang disokong oleh Foreign, Commonwealth and Development Office (FCDO) kerajaan UK adalah inisiatif utama selaras dengan keutamaan Malaysia.


Beliau berkata, program itu melahirkan tindakan yang mantap ke arah memanfaatkan sumber untuk menyokong matlamat pembangunan mampan di seluruh dunia.


Katanya, dengan komitmen sebanyak 156 juta pound (RM1 bilion), program MOBILIST bertujuan untuk memangkin pelaburan di seluruh infrastruktur mampan, kewangan iklim dan kewangan inklusif pada skala global.


"Program ini ditetapkan untuk menggerakkan aliran modal institusi yang penting ke dalam pasaran baru muncul dan pasaran sempadan yang penting untuk membangunkan penyelesaian yang mampan dan memajukan SDG


"Bagi Bursa Malaysia, usaha sinergi ini lebih bermakna daripada pelaburan atau pembiayaan," katanya.



Malaysia perlu RM90 bilion biaya projek kritikal 10 tahun lagi

7 views

Komentarai


bottom of page