top of page

Firma China labur RM15 bilion bangun projek sisa kepada tenaga


Firma China labur RM15 bilion bangun projek sisa kepada tenaga
Gambar hiasan

Firma China labur RM15 bilion bangun projek sisa kepada tenaga

KUALA LUMPUR: Konglomerat China yang terbabit dalam rawatan sisa pepejal bandar, Shanghai SUS Environment Co Ltd (SUS) menyasar untuk melabur RM15 bilion bagi membangunkan projek Sisa kepada Tenaga (WtE) di Malaysia dengan kerjasama Citaglobal Bhd.


Kedua-dua syarikat memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) ketika Ekspo China-ASEAN ke-20 dan Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan China-ASEAN di Nanning, China.


Tujuan MOU itu adalah untuk merasmikan hasrat kedua-dua pihak meneroka potensi kerjasama dan menilai kebolehlaksanaan membangunkan loji janakuasa WtE, terutamanya di Malaysia.

Kerjaya Madani Politeknik Shah Alam

Cadagannya adalah untuk mengalihkan semua sisa daripada tapak pelupusan sampah yang tidak mampan ke loji WtE dan menyelesaikan semua masalah pelupusan sisa di Malaysia secara holistik.


Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


MoU dimeterai oleh Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal, Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria dan Ketua Pegawai Eksekutif SUS, Cindy Li Haiyan.


Mengulas mengenai MoU, Norza berkata, syarikat itu amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan SUS, salah satu penyedia penyelesaian WtE terkemuka China, dengan rekod prestasi global yang kukuh dan terbukti lama.


Beliau berkata, pengurusan sisa telah menjadi satu kemestian, kini kebanyakan bandar kehabisan tapak pelupusan sampah.


Katanya, sistem WtE bukan sahaja menyediakan sumber tenaga boleh diperbaharui bernilai tinggi, tetapi yang lebih penting, keupayaannya untuk menukar sisa menjadi abu dengan ketara dapat mengurangkan jumlah sisa yang berakhir di tapak pelupusan sampah.


"Kami melihat pembangunan sistem WtE sebagai situasi menang-menang keseluruhan untuk Malaysia. Selain melengkapkan sumber tenaga berasaskan bahan api fosil, sistem WtE menjana tenaga boleh diperbaharui, mengurangkan keperluan tapak pelupusan, dan menghasilkan hasil untuk majlis perbandaran serta kerajaan tempatan," kata Norza.


Li pula berkata, dengan rekod prestasi luas SUS yang kukuh, syarikat itu yakin dapat menyediakan loji WtE yang moden, bersih dan cekap untuk rakyat Malaysia.


"Di Malaysia, 38,000 tan sisa pepejal dikumpul setiap hari dan dibuang di tapak pelupusan sampah yang menggunakan kawasan seluas 150 ekar tanah setiap tahun. Kerajaan Malaysia menyedari keperluan mendesak ini dan merancang untuk melaksanakan satu loji WtE di setiap negeri.


"Secara amnya, SUS bersama rakan kongsi kami, Hitachi Zosen Corp berjaya menghantar 1,400 loji WtE di seluruh dunia. Kami menyasar untuk menyuntik RM15 bilion pelaburan langsung asing ke dalam ekonomi Malaysia untuk tujuan ini," kata Li.


Kerjasama kedua-dua pihak itu juga selaras dengan campuran kapasiti tenaga boleh diperbaharui Malaysia daripada 40 peratus pada 2035 kepada 70 peratus menjelang 2050, seperti yang diumumkan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) pada Julai lalu.


SUS ialah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang diperbadankan di China, dengan pengalaman luas dalam rawatan sisa pepejal bandar, pembinaan taman eko-industri, kejuruteraan WtE, perolehan, pembinaan, operasi dan penyelenggaraan, rawatan sisa pertanian dan perhutanan serta bidang lain.


Ia dipilih sebagai salah satu daripada '10 syarikat paling berpengaruh' dalam industri sisa pepejal China selama beberapa tahun secara berturut-turut.


Bersama rakan kongsinya dari Jepun, gergasi teknologi bersih global Hitachi Zosen Corp, SUS telah menghantar lebih daripada 1,400 loji WtE di seluruh dunia.


Sumber: Berita Harian


Firma China labur RM15 bilion bangun projek sisa kepada tenaga


bottom of page