top of page

Mah Sing rancang bangun perbandaran bersepadu di Semenyih


Mah Sing rancang bangun perbandaran bersepadu di Semenyih
Mah Sing Group Bhd

Mah Sing rancang bangun perbandaran bersepadu di Semenyih

KUALA LUMPUR: Mah Sing Group Bhd (Mah Sing) membeli sebidang tanah pegangan bebas seluas 202.3 hektar di Semenyih dari SP Setia Bhd dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) RM3.3 bilion.


Menurut pemaju hartanah itu dalam kenyataan hari ini, perbandaran yang akan dinamakan sebagai Glengowrie Estate itu dirancang sebagai pembangunan perbandaran bersepadu yang terdiri terutamanya rumah bertanah dua tingkat dengan harga indikatif bermula daripada RM446,800.


Katanyta, kerjanjian jual beli (SPA) telah ditandatangani dengan Petaling Garden Sdn Bhd, anak syarikat S P Setia hari ini pada harga RM392 juta.


"Caj pembangunan, Dana Perkhidmatan Penambahbaikan (ISF) dan sebahagian daripada kos Skim Bekalan Air Bersepadu (IWSS) telah dibayar oleh vendor.


"Sebahagian daripada infrastruktur luaran juga telah disiapkan. Bentuk tanah yang beralun membolehkan Mah Sing peluang untuk meneroka reka bentuk unik dan peluang kreatif sambil memaksimumkan penggunaan tanah," katanya dalam kenyataan hari ini.


Tanah berkenaan terletak di perbandaran matang Semenyih, Selangor, di selatan pembangunan Eco Forest dan di sebelah timur Bandar Tasik Kesuma. Ia juga bersempadan dengan daerah Seremban memberikannya sasaran pasaran yang luas.


Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, ini adalah perolehan tanah mereka yang paling penting dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan skala projek ini akan membolehkan perancangan induk yang sangat baik.


"Pembelian ini akan meningkatkan tanah perbandaran kami yang akan memenuhi permintaan hartanah kediaman bertanah di pinggir bandar, di samping hartanah kediaman bertingkat tinggi di bandar dan tanah perindustrian di lokasi yang sesuai.


"Glengowrie Estate akan membina kejayaan pembangunan tanah mampu milik dan perbandaran kami seperti M Senyum di Salak Tinggi, M Aruna, M Panora dan M Residence 1&2 di Rawang, Southville City di Bangi dan Meridin East di Johor," katanya.


Tambahnya, Glengowrie Estate dibayangkan sebagai sebuah perbandaran bersepadu dan mampan di Semenyih di mana memenuhi gaya hidup penduduk yang berdiri sendiri dan tidak memerlukan mereka melakukan perjalanan jauh untuk memenuhi keperluan harian.


"Dengan lokasinya yang strategik di Semenyih dan kira-kira 30 minit dari Kuala Lumpur, kami percaya pembangunan ini akan menarik minat pembeli rumah kali pertama yang lebih suka tinggal di pembangunan perbandaran serba lengkap yang jauh dari bandar.


"Pembangunan ini juga sesuai untuk keluarga muda yang tinggal bersama anak dan ibu bapa mereka," katanya.


Tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa dan pemenuhan syarat terdahulu, cadangan pembangunan itu dijangka dimulakan pada suku ketiga 2024 dan akan dibangunkan dalam tempoh lapan hingga 10 tahun.


Dalam kenyataan berasingan, S P Setia Bhd mengumumkan bahawa anak syarikat milik penuhnya, Petaling Garden Sdn Bhd, memeterai perjanjian jual dan beli saling bersyarat bersama Elite Park Development Sdn Bhd, Grand Prestige Development Sdn Bhd dan Mestika Bistari Sdn Bhd, ketiga-tiganya dimiliki oleh Mah Sing, untuk melupuskan kira-kira 500 ekar tanah pegangan bebas yang terletak di Glengowrie itu pada pertimbangan tunai RM392 juta.


Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif S P Setia, Datuk Choong Kai Wai, berkata penjualan tanah itu adalah langkah baik kepada syarikat itu.


"Hasil penjualan akan digunakan untuk dilaburkan kepada pembangunan projek-projek strategik selain pembayaran hutang.


"Kami yakin bahawa penjualan ini akan menyumbang secara positif kepada keuntungan S P Setia dan satu langkah ke arah mencapai matlamat jangka panjang syarikat.


"S P Setia kekal komited untuk menyiapkan projek-projek berkualiti tinggi dan membina nilai untuk pihak berkepentingan," katanya.


Sumber: Berita Harian


Mah Sing rancang bangun perbandaran bersepadu di Semenyih

bottom of page