Lulus peruntukan kecemasan RM800,000 bina benteng


Gambar hiasan

Kuala Nerus: Kementerian Alam Sekitar dan Air meluluskan peruntukan kecemasan sebanyak RM800,000 bagi mengatasi masalah hakisan pantai di Kampung Pengkalan Maras di sini.


Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, peruntukan itu bagi membina benteng sepanjang 200 meter dengan projek dijangka bermula minggu depan.


Beliau berkata, keadaan hakisan pantai yang kritikal di kawasan berkenaan menyebabkan kementerian meluluskan segera RM800,000 untuk menyelamatkan kawasan berkenaan.


"Ini adalah projek kecemasan yang kita luluskan segera, tender untuk projek ini akan ditutup esok dan kita jangka pembinaannya akan bermula minggu depan.


"Ini adalah projek sementara untuk menyelamatkan beberapa kawasan terhakis, Insya Allah, projek ini dijangka mengambil masa enam minggu untuk disiapkan.


"Penyelesaian secara holistik mengambil masa sikit dan kita berharap projek yang diluluskan ini boleh menyelamatkan sementara waktu kawasan berkenaan sehingga kita laksanakan projek besar untuk menyelamatkan kawasan secara keseluruhannya," katanya.


Beliau berkata demikian ketika melakukan lawatan kerja ke kawasan hakisan pantai di Kampung Pengkalan Maras, di sini hari ini.


Tuan Ibrahim berkata, kementerian memperuntukkan RM90 juta untuk mengatasi masalah hakisan pantai yang semakin meruncing di kawasan berkenaan.


"Sebenarnya kita sudah ada satu pelan kajian terperinci untuk secara holistik di kawasan ini namun ia masih di peringkat kajian.


"Penyelesaian secara holistik mengambil masa sedikit dan kita akui ombak agak kuat sehingga menyebabkan hakisannya merebak.


"Kadang-kadang benteng ini kalau kita bina, ia perlu secara holistik tetapi kalau kita buat sedikit, ia akan menyebabkan kawasan yang tidak dibina jadi lebih rosak.


"Sebab itu, kita ada membuat kajian mengenai hakisan pantai di Terengganu dan mengadakan perbincangan dengan pihak kerajaan negeri untuk melihat langkah yang boleh diambil sama ada di pihak kementerian dan kerajaan negeri sendiri termasuk isu-isu atau punca yang membawa kepada hakisan pantai," katanya.


Sumber: Harian Metro

11 views0 comments

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2021 EvolusiBina. All rights reserved.