top of page

Lucut hak wang tunai RM324,729.20


MAHKAMAH Majistret Kota Bharu, hari ini melucutkan hak wang berjumlah RM324,729.20 yang disita daripada projek membaik pulih rumah mangsa banjir di sekitar Tanah Merah.


Majistret Izuddin Mohd Shukri membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan lucut hak yang dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).


Mahkamah memutuskan wang yang dilucut hak itu dimasukkan ke dalam hasil kerajaan Malaysia seperti mana permohonan perintah yang dibuat SPRM.


SPRM diwakili Timbalan Pendakwa Raya Shahidah Muslimah Roslan, manakala responden tidak diwakili peguam.


SPRM sebelum ini menyita RM100,000 daripada seorang timbalan ketua bahagian sebuah parti politik di Kelantan yang memperoleh wang rasuah daripada beberapa kontraktor yang melaksanakan kerja membaik pulih rumah mangsa banjir di sekitar Tanah Merah.


Bagaimanapun, kerja membaik pulih rumah mangsa banjir tidak dilakukan sepenuhnya dan wang sitaan itu adalah wang lebihan tuntutan.


Pada masa yang sama, SPRM turut menyita wang RM224,729.20 di dalam sebuah akaun milik Pusat Khidmat Masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan pada Februari 2016 yang mana wang itu adalah hasil rasuah daripada kontraktor sama.


Sumber: Harian Metro


236 views
bottom of page