top of page

Longkang tersumbat punca banjir kilat



Sentul: Kejadian banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Jalan Kovil Hilir, di sini, semalam berpunca daripada longkang tersumbat hingga tidak mampu menampung air hujan yang banyak.


Hasil pemeriksaan dilakukan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapati 10 pemilik gerai di jalan berkenaan bertindak menutup longkang dengan simen menyebabkan ia tidak dapat diselenggara oleh Alam Flora.


"Pengusaha gerai ini juga tidak memasang perangkap minyak menyebabkan longkang tersumbat teruk.


"Bagaimanapun, kita mencapai penyelesaian jangka panjang dengan membina longkang baru di depan gerai selepas perayaan Deepavali dalam tempoh sebulan," katanya ketika ditemui selepas walkabout bersama peniaga di Jalan Kovil Hilir, di sini, hari ini.


Apabila 10 pemilik gerai berkenaan yang sudah berniaga antara 30 hingga 40 tahun diberikan lesen, DBKL akan memasukkan syarat wajib supaya memasang perangkap minyak.


"Jika tidak kita akan menarik semula lesen perniagaan daripada penjaja berkenaan,".


Projek pembinaan longkang baru akan bermula 21 November ini, dan dijangka siap sepenuhnya pada 15 Disember depan.


"Inilah penyelesaian masalah banjir kilat yang kita lakukan dengan berbincang dengan penjaja.


"Kita tidak mahu salahkan sesiapa, cuma mahu cari jalan penyelesaian sesuai demi kepentingan semua pihak,".


Kesemua 10 gerai berkenaan tidak akan dirobohkan sebaliknya peniaga diminta menghentikan operasi sementara kerja pembinaan dilakukan November depan.


"Kita faham kesusahan dirasai rakyat ketika pandemik Covid-19 dan cuba mengurangkan seminimum mungkin supaya kerugian mereka dapat dikurangkan,".


Kos pembinaan longkang baru sepanjang 80 meter dengan kedalaman 450 meter itu ditanggung sepenuhnya oleh DBKL.


Semalam, beberapa kawasan dan jalan di Sentul dinaiki air selepas hujan lebat selama tiga jam melanda ibu negara.


Sumber: Harian Metro


10 views
bottom of page