Longgarkan syarat untuk kontraktor tempatan sertai projek ECRL



KUALA TERENGGANU: Pengendali projek utama Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), China Communications Construction Company Ltd (CCCC), digesa melonggarkan syarat bagi memberi peluang kontraktor tempatan melaksanakan projek, terutamanya membabitkan laluan di negeri ini.


Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, membuat gesaan itu berikutan 40 peratus atau RM3.02 bilion daripada kos keseluruhan projek ECRL di negeri ini iaitu RM7.56 bilion dikhaskan kepada kontraktor tempatan.


Jelasnya, kerajaan mengakui syarat ketat ditetapkan CCCC, tetapi syarikat itu perlu memahami aspek lokaliti, kekangan serta kesukaran dihadapi kontraktor tempatan bagi memenuhi syarat ditetapkan.


"CCCC perlu mempertimbangkan aspek lokaliti kerana kebanyakan kontraktor adalah penduduk tempatan, apabila syarat ketat dikenakan, akan timbul perasaan tidak puas hati kalangan mereka disebabkan pelaksanaan projek dilakukan orang luar.


"CCCC juga harus faham dengan keadaan di negara ini, pembabitan syarikat kontraktor tempatan bukan sekadar mendapatkan keuntungan, sebaliknya dianggap sebagai perkongsian pembelajaran yang baik bagi mereka," katanya.


Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) pembentukan konsortium di antara Ahmad Zaki Sdn Bhd dengan GPQ Sdn Bhd, MMC Engineering Sdn Bhd dan P-Excell Management Sdn Bhd bagi projek ECRL di sini, hari ini.


Dr Ahmad Samsuri menjelaskan, berdasarkan Perjanjian Tambahan (SA) antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan CCCC yang dimeterai pada 12 April lalu menyaksikan peningkatan pembabitan kontraktor tempatan dalam kerja sivil ECRL.


Jelasnya, pakej tender 40 peratus kepada kontraktor tempatan hanya membabitkan kerja sivil dan tidak termasuk kerja pembinaan terowong seperti sedang dilaksanakan CCCC di Bukit Bauk, Dungun.


"Kerajaan negeri bimbang tiada satu pun kontraktor tempatan yang layak untuk mendapatkan projek disebabkan syarat ketat dikenakan CCCC," katanya.


Sumber: Berita Harian


#evolusibina #ECRL #kontraktor

4 views0 comments

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2021 EvolusiBina. All rights reserved.