Limpahan air punca hakisan Jalan Kuantan-Segamat


Hakisan tebing jalan di Jalan Persekutuan Kuantan- Segamat. - Foto ihsan Facebook Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR: Hakisan tebing jalan di Jalan Persekutuan Kuantan-Segamat yang dilaporkan Jumaat lalu dikenal pasti berpunca daripada limpahan air dari struktur pembetung ke permukaan turapan jalan.


Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata hakisan tebing jalan di Kilometer 63 dan Kilometer 73 berada dalam kawasan projek menaik taraf laluan persekutuan 12 (FR12) dari Gambang ke Segamat, Johor.


Beliau menjelaskan kejadian hakisan di tebing jalan itu dilaporkan berlaku pada jam 7.45 pagi.


"Jabatan Kerja Raya (JKR) bersama kontraktor projek, Mulia Interlink Construction Sdn Bhd menjalankan kerja pembersihan di tapak berkenaan dan memasang papan tanda sementara di kawasan berkenaan," katanya menerusi Facebook hari ini.


Fadillah kini dalam siri lawatan tiga hari ke Pahang bagi meninjau lokasi infra rakyat yang terjejas akibat banjir di negeri itu.


Pagi tadi beliau menerima taklimat Pengarah JKR Pahang, Hafizah Zakaria mengenai lebuh raya, jalan raya, jambatan dan cerun yang runtuh dan ditenggelami air akibat bencana hujan lebat, banjir dan limpahan air sungai pasang besar di negeri itu.


Yang turut hadir, Ketua Pengarah JKR, Datuk Mohamad Zulkefly Sulaiman.


Laluan dibuka separuh untuk semua jenis kenderaan dan kerja pembaikan kekal tebing jalan oleh pihak kontraktor projek dimulakan dan dijangka siap pada pertengahan bulan depan.


Sumber: Berita Harian

47 views0 comments

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2021 EvolusiBina. All rights reserved.