top of page

Lebih separuh sekolah di Sabah daif, uzur


sekolah daif
Gambar hiasan: "..secara terperinci sebanyak 414 sekolah disahkan Jabatan Pendidikan Sabah memiliki bangunan pada skala enam atau tidak selamat pada 2020."

sekolah daif

KOTA KINABALU: Lebih separuh daripada 1,292 sekolah rendah dan menengah di Sabah ketika ini dilaporkan berdepan masalah bangunan yang berkeadaan daif atau uzur.


Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata perangkaan itu berdasarkan rekod terbaharu Jabatan Pendidikan Sabah pada tahun lalu.


"Berdasarkan rekod JPNS pada 2022 terdapat 1,071 sekolah rendah dan 221 sekolah menengah di Sabah. Namun daripada bilangan sekolah itu sekurang-kurangnya 54.5 peratus disifatkan berkeadaan daif dan uzur serta memerlukan kerja pembaikan dan penyelenggaraan segera," katanya.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Putatan mendedahkan perkara itu pada perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, malam tadi.


Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, berkata secara terperinci sebanyak 414 sekolah disahkan Jabatan Pendidikan Sabah memiliki bangunan pada skala enam atau tidak selamat pada 2020.


Katanya, berdasarkan laporan Menteri Pendidikan pada masa itu, sebanyak 52 sekolah lagi mempunyai bangunan pada skala tujuh iaitu bangunan tidak selamat dengan pengesahan Jabatan Kerja Raya (JKR).


Beliau berkata, di kawasan Parlimen Putatan yang diwakilinya juga ada sekolah dengan bangunan berkeadaan daif serta tidak selamat digunakan.


"Sekolah Kebangsaan (SK) Tansau adalah salah satu sekolah yang ada di Parlimen Putatan. Satu blok bangunan konkrit dua tingkat di sekolah ini yang menempatkan kelas pengajaran dan pembelajaran murid diisytiharkan tidak selamat oleh JKR sebanyak dua kali iaitu pada 2015 dan 2022.


"Laporan ini sudah dihantar ke Kementerian Pendidikan (KPM) dan salinan kepada Jabatan Pendidikan Sabah. Namun, sehingga kini tiada sebarang tindakan atau kerja-kerja pembaikan dijalankan.


"Hal ini menyebabkan murid di sekolah itu terpaksa menggunakan blok bangunan kayu lain yang sudah usang," katanya.


Beliau berkata, selain isu struktur sekolah yang daif dan tidak selamat, Sabah juga masih berdepan isu sekolah tumpang.


Katanya, sehingga tahun lalu, sebanyak 23 sekolah di Sabah terpaksa beroperasi dengan menumpang di sekolah lain.


"Justeru, saya memohon KPM melihat semula isu ini dan mengambil tindakan penyelesaian segera," katanya.


Shahelmey turut menekankan mengenai pembinaan sekolah dengan kemudahan lebih baik yang diperlukan untuk meningkatkan tahap pendidikan di Sabah.


Beliau berkata, ia termasuk pembinaan sekolah baharu, penambahbaikan sekolah sedia ada dan pembelian peralatan serta perisian pendidikan terkini.


Sumber: Berita Harian


2 views

Comments


bottom of page