top of page

Lawatan Dr Mahathir ke Russia tingkatkan lagi hubungan dua hala


Duta Besar Malaysia ke Rusia Datuk Mat Dris Yaacob (dua, kiri) mengadakan sidang media bersama wartawan Malaysia hari ini sempena lawatan kerja Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke Vladivostok, Rusia bagi menghadiri Forum Ekonomi Timur (EEF) 2019 pada 4 hingga 6 September ini. - Foto BERNAMA

VLADIVOSTOK: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dijadual tiba esok di Russia untuk lawatan tiga hari atas jemputan Presiden Russia, Vladimir Putin.


Duta Besar Malaysia ke Russia, Datuk Mat Dris Yaacob, berkata lawatan itu akan meningkatkan hubungan diplomatik dan merangsang perdagangan dua hala antara kedua-dua negara.


Perdana Menteri diiringi Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking.


Bercakap kepada media Malaysia di sini hari ini, Mat Dris berkata Dr Mahathir dan anggota delegasinya buat pertama kali akan menyertai Forum Ekonomi Timur (EEF).


Perdana Menteri akan menyertai pemimpin dunia pada forum itu yang menjadi pentas bagi membincangkan isu-isu bermatlamat meluaskan kerjasama antarabangsa di Asia Pasifik.


Pada Khamis, beliau dijadual berucap pada sesi pleno forum berkenaan, acara utama EEF kelima yang berlangsung di kampus Far Eastern Federal University, di sini.


“Dr Mahathir akan membincangkan hubungan dua hala serta mempromosi kerjasama baharu dalam pelbagai sektor termasuk perdagangan dan pelaburan,” kata Mat Dris.


Menurutnya, pembinaan kapal, pelancongan, pendidikan, pembinaan, penerbangan dan aeroangkasa adalah antara bidang ekonomi utama di Valdivostok yang boleh diteroka selanjutnya oleh syarikat Malaysia.


Sementara itu, penganjur forum, Roscongress Foundation, memetik penasihat kepada Presiden Russia, Anton Kobyakov, sebagai berkata bahawa Russia berminat membangunkan kerjasama dengan Malaysia dalam perdagangan, teknikal ketenteraan serta bidang kemanusiaan.


Beliau mencadangkan Malaysia bekerjasama dengan Komuniti Ekonomi Eropah (EEC) untuk membangunkan hubungan dagangan yang lebih intensif antara kedua-dua negara.


“EEC adalah pentas yang baik untuk pembentukan pasaran antarabangsa sejagat,” kata Kobyakov.


Beliau berkata Malaysia mempunyai beberapa projek pelaburan utama di Russia. - BERNAMA



5 views
bottom of page