top of page

Larikan perancah besi RM1.4 juta


ABDUL MAJID Mohd. Ali menunjukkan perancah besi yang berjaya ditemukan semula selepas dilaporkan hilang semalam. UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

JASIN: Seramai 18 pekerja kontraktor diberkas dalam dua serbuan berasingan semalam, selepas dipercayai terlibat dengan kes pecah amanah perancah besi projek pembinaan di Sungai Udang bernilai RM1.4 juta.


Semua suspek berusia antara 16 hingga 61 tahun ditahan di tempat penyimpanan perancah besi di Gebeng, Pahang dan Paka, Terengganu.


Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, serbuan dilakukan selepas satu laporan dibuat oleh sebuah syarikat pembekalan perancah besi di Sri Hartamas, Kuala Lumpur semalam, mengenai kehilangan alat pembinaan itu.


Katanya, kecurian 335 tan perancah besi itu hanya disedari apabila pihak syarikat melakukan proses audit apabila pembinaan di sebuah tapak projek di Sungai Udang di sini selesai dilakukan, dua tahun lalu.


“Selepas proses audit dilakukan, pihaknya mendapati sebanyak 335 tan peralatan perancah besi bernilai RM1.4 juta telah berkurangan.


“Susulan laporan itu, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri melakukan serbuan di Gebeng serta Paka dan menemui 250 tan besi perancah bernilai RM900,000 dilaporkan hilang,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin di sini, hari ini.


Tambahnya, peralatan perancah besi yang ditemui semula termasuklah pelbagai jenis tiub, double coupler, swivel coupler, tangga aluminium dan pin penyambung.


Jelasnya, kesemua 18 suspek didapati bekerja dengan dua buah syarikat berlainan yang menjalankan perkhidmatan menyewa serta menjual perancah besi.


“Pemeriksaan lanjut, kesemua mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau.


“Pasukan kita masih lagi menjejaki baki perancah besi tersebut dan dalang terbabit yang masih bebas,” ujarnya.


Kesemua mereka ditahan reman sehingga hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah.


21 views

Commentaires


bottom of page