top of page

Laporkan pelaksanaan kerja projek pembangunan kurang bermutu


SPAOH, (Sarawak) 22 Feb. - Kerja kurang bermutu oleh kontraktor yang dilantik bagi melaksanakan projek pembangunan di sini perlu dilaporkan kepada Pejabat Residen atau Pejabat Daerah, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.


Uggah, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Saban, berkata penduduk daripada kaum Melayu dari empat kampung di sini juga boleh mengemukakan masalah itu kepada beliau.


"Kami tidak boleh membenarkan sebarang kerja kurang bermutu kerana pengguna akhir yang akan menanggung akibatnya.


"Kerajaan dan pemimpin politik akan dituduh tidak menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik," katanya pada pertemuan dengan pemimpin dan anggota Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dari empat kampung berkenaan di pusat khidmat ADUN Bukit Saban di sini hari ini.


Sehubungan itu, beliau menasihati penduduk kampung supaya memantau rapi pelaksanaan projek yang diluluskan di kawasan mereka bagi memastikan ia dijalankan menurut spesifikasi yang ditetapkan.


Uggah kemudian mempengerusikan mesyuarat untuk menyelaraskan projek pembangunan yang ditetapkan bagi sub daerah Spaoh.- BERNAMA


Sumber: Utusan Online


16 views
bottom of page