top of page

Laporan kajian terowong dasar laut belum siap


GEORGETOWN: Kerajaan negeri belum menerima laporan kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut yang dibuat pemaju projek mega berkenaan, Zenith Construction Sdn Bhd.


Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata kerajaan negeri hanya akan menerima laporan akhir projek itu selepas ia disemak jurutera perunding bebas yang dilantik, iaitu HSS Engineers Bhd (HSS Engineers).


“Kerajaan negeri belum terima lagi laporan akhir kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut itu.


“Laporan akhir yang dimaksudkan adalah ia diserahkan kepada HSS Engineers untuk disemak, sebelum HSS Engineers menyerahkan kepada kerajaan negeri,” katanya pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini, hari ini.


Beliau berkata demikian mengulas laporan sebuah portal berita hari ini yang melaporkan kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut itu sudah lengkap dan akan dikemukakan kepada kerajaan negeri sebelum ia dimuktamadkan.


Memetik sumber yang terdekat dengan kemajuan Pelan Induk Pengangkutan (PTMP) Pulau Pinang itu, portal berita terbabit turut memberitahu laporan berkenaan kini sedang diperiksa oleh jurutera perunding bebas.


Sementara itu, Kon Yeow berkata, pengunjung Bukit Bendera kini boleh menikmati perkhidmatan jalur lebar (WiFi) secara percuma sewaktu melawat puncak Pulau Pinang berkenaan.


Katanya, perkhidmatan WiFi itu adalah inisiatif Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) dengan kerjasama Telekom Malaysia Bhd (TM).


“Perkhidmatan ini mempunyai 22 tempat akses dengan kelajuan sebanyak 100Mbps.


“PBBPP gembira dapat bekerjasama dengan TM dalam usaha meningkatkan perkhidmatan rangkaian internet di Bukit Bendera. Ia juga menjadikan pengunjung mudah untuk berhubung sambil melancong,” katanya.


Sumber: Berita Harian


75 views
bottom of page