JELI: Kemudahan lanjutan tempoh kontrak adalah antara bantuan diberikan kepada kontraktor dilantik bagi menjalankan projek pembinaan seliaan Kerajaan Persekutuan yang terjejas akibat penularan COVID-19.
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata pihaknya antara lain turut melaksanakan perbincangan bersama Kementerian Kewangan untuk menetapkan kadar baharu bagi kontrak mengikut kadar semasa.
Beliau berkata, ia berikutan maklum balas diterima berhubung ketidakmampuan kontraktor meneruskan pembinaan projek pasca pandemik COVID-19, antaranya berpunca akibat kedudukan kewangan yang kurang stabil.
Selain itu, katanya, keutamaan kementeriannya ketika ini adalah untuk memastikan semua projek pembinaan yang sedang berlangsung di seluruh negara dapat disiapkan mengikut jadual.
"Ada projek mendahului, mengikut dan di belakang jadual, sebab itu kami turun di lapangan untuk melihat serta berbincang untuk menyiapkan projek. Contohnya satu pakej Jalan Central Spine agak terlewat.
"Kita serba salah, sama ada mahu menamatkan kontrak atau sebagainya kerana penamatan kontrak adalah jalan terakhir.
"Paling utama bagi kementerian adalah untuk membantu (kontraktor) menyiapkan projek, melainkan kita sudah tiada pilihan dan perlu menamatkan kontrak, seterusnya mencari kontraktor baharu bagi meneruskan projek berkenaan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau mengulas isu kenaikan harga barangan dan kekurangan tenaga kerja dialami industri pembinaan susulan penularan COVID-19, selepas meninjau kerja menaik taraf Jalan Jeli-Kampung Reka Luar, Kuala Balah, Dabong.
Fadillah berkata, ketidakmampuan kontraktor menyiapkan projek berpandukan pelbagai alasan, antaranya kedudukan kewangan terjejas susulan lonjakan harga barangan.
Beliau yang memahami keadaan itu berkata, situasi itu turut didorong faktor kekurangan bekalan tenaga buruh, selain berusaha membantu kontraktor melalui pelbagai aspek bagi membolehkan mereka menyiapkan pelaksanaan projek.
"Kalau mereka terjejas, bayangkan mereka tidak boleh laksanakan kerja dalam tempoh sebulan dan masih perlu membayar pekerja, sewa jentera, pinjaman dan sebagainya, mungkin sebab itu menjejaskan kedudukan kewangan kontraktor.
"Kita memahami keadaan ini dan memberi kemudahan lanjutan tempoh kontrak dan berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk melaksanakan perubahan harga mengikut kadar semasa.
"Kita sedar masalah pekerja sebab itu kita melihat kepada lanjutan tempoh kontrak dan denda tidak dikenakan berikutan masalah dihadapi mereka. Keutamaan kita adalah untuk menyiapkan projek ini dalam keadaan apa sekali pun," katanya.
Sumber: Berita Harian
コメント