top of page

Lanjutan 3 bulan secara automatik semua projek kerajaan


Lebuh Raya Pan Borneo dijangka siap sepenuhnya 2022. - NSTP/Melvin Joni

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi lanjutan selama tiga bulan secara automatik kepada semua projek kerajaan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19.


Menteri Kanan (Kerja Raya), Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata kontraktor bagaimanapun perlu memohon lanjutan tambahan kepada kerajaan dan menjelaskan mengapa ia diperlukan.


Bagaimanapun, katanya, kementerian juga mewujudkan pendekatan khusus supaya pembinaan projek kerajaan boleh dipercepatkan dan siap mengikut tempoh, tanpa kos tambahan.



"Apabila isytiharkan PKP Fasa I, hanya kerja kritikal sahaja dibenarkan untuk tempoh dua minggu pertama, disusuli kebenaran bagi kerja aspek keselamatan dan kesihatan di tapak pembinaan, minggu seterusnya.


"Hanya selepas itulah baru keseluruhan aktiviti di tapak pembinaan dibenarkan. Sudah pasti ini menjejaskan keseluruhan projek kerajaan, bukan sahaja (Lebuhraya) Pan Borneo," katanya.


Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) yang mahu tahu implikasi kewangan tambahan dan kesan COVID-19 terhadap pembinaan Lebuhraya Pan Borneo, pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.


Menjawab soalan asal Ahmad Jonie, Fadillah memaklumkan, perubahan model pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo tidak mengambil kira beberapa perkara yang kini ditangani kerajaan.


Ia membabitkan kesan ke atas pentadbiran projek dan perubahan kontrak; keperluan penambahbaikan kapasiti dan kepakaran teknikal sedia ada serta tuntutan susulan daripada penamatan rakan pelaksana projek (PDP).


Selain itu, katanya, status kemajuan terkini projek Lebuhraya Pan Bornoe adalah 52 peratus, hingga Julai lalu, selain dijangka siap sepenuhnya pada 2022.


"Kita akan tetap menghormati keputusan kerajaan terdahulu diterajui Pakatan Harapan (PH) untuk mengubah kaedah pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo, di mana awalnya dijangka penamatan PDP akan memberi penjimatan kepada kerajaan.


"Seperti diumumkan bekas Menteri Kewangan iaitu Bagan (Lim Guan Eng), jumlah penjimatan adalah RM3.1 bilion, manakala yang diumumkan bekas Menteri Kerja Raya (Baru Bian) ialah RM1.2 bilion.


"Jadi saya tidak pasti yang mana 'figure' lebih sesuai digunakan dan tidak pasti juga Menteri Kewangan terdahulu (Guan Eng) menggunakan fakta mana," katanya.


Beliau berkata, penjimatan pembinaan Lebuhraya Pen Borneo hanya dapat dimuktamadkan selepas ia siap sepenuhnya bagi menentukan kos sebenar projek terbabit.


"Walaupun secara dasar ada penjimatan tetapi jumlah sebenar saya kira tidak dapat dinyatakan dengan jelas. Sudah pasti banyak perkara yang kita lihat dan penjimatan sebenar tidaklah (seperti) apa diumumkan bekas Menteri Kewangan atau bekas Menteri Kerja Raya," katanya.



108 views
bottom of page